New Page 1

Selamat Datang ke Blog Mama Moden

Related Posts with Thumbnails

31 Mac 2011

Dari Kamar Itu.... Terlerai Sudah Sebuah Ikatan!!!


Assalamualaikum....

Sebuah Kenangan.....


31 Mac 2011
TSI Sungai Petani 12 tengahmalam :

Sejak balik dari kerja jam 12 malam saya menyiapkan apa2 yang patut untuk hari penting ini. Segala dokumen berkaitan saya masukkan siap2 dalam beg tangan. Dompet, beg makeup juga saya masukkan siap2 dalam beg tangan. Baju & tudung yang telah digosok saya gantung di dinding. Saya tak mau terlewat pagi nanti. Saya tidur lena tanpa bermimpi apa2 yang pelik. Mungkin kerana keletihan sebab sudah seminggu saya kerja full.

TSI Sungai Petani 6 pagi :
Sebaik teman setia saya berbunyi tepat jam 6 pagi, saya bangun mandi, solat subuh diakhiri dengan doa yang panjang agar Allah tidak menarik balik segala kekuatan, ketabahan, ketenangan, kedamaian yang telah diberiNya pada saya sekian lama selama menempuhi dugaan ini. Saya berdoa jika saya mahu menangis inilah masanya, inilah ketikanya ketika saya memohon sesuatu dariNya.

TSI Sungai Petani 6.30 pagi :
Saya bersiap, berdandan ( bergaya macam nak naik pelamin konon ) dengan rasa teruja yang hanya saya merasainya. Ada rasa debaran dalam hati, dalam dada saya. Pandangan & pendengaran saya asyik saya lontarkan keluar rumah bimbang hujan menimpa bumi. Kalau hujan tentu basah kuyup saya sepanjang perjalanan nanti. Baju hujan telah saya siapkan. Kalau hujan saya akan merempit dengan baju biasa dulu, baju pengantin ni saya salin disana. Alhamdulilah sehingga pukul 7 pagi cuaca masih baik.

TSI Sungai Petani 7.20 pagi :
Saya memulakan perjalanan dengan tekad & azam, harapan & impian agar kes sebutan saya berjalan lancar hari ini. Saya berharap tiada lagi penangguhan & kes ditunda. Sepanjang perjalanan satu persatu kenangan2 suka duka, pahit manis sepanjang bersama Dia 21 tahun ini berlegar. Saya berkata, takapalah bayangan itu datang sekarang, saya bayang, kenang & sepanjang highway Tol SP Selatan ke Sungai Dua ini yang mana duka & pahit, sedih & kecewa yang perlu di ketepikan saya akan tinggalkan disepanjang perjalanan ini, manakala yang suka & indah, yang manis & bahagia yang masih perlu saya simpan, akan saya simpan jauh dilubuk hati saya yang paling dalam. Jika tepian2 sawah bendang yg saujana mata memandang ini tidak cukup ruang untuk saya tinggalkan kenangan yang terlalu banyak sepanjang 21 tahun bersama ini, akan saya lontarkan di laut melalui Jambatan Pulau Pinang.

Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang 8.30 pagi:
Tercapai hasrat saya semalam mahu sampai sebelum hakim sampai. Tepat 8.30 saya sudah tiba diperkarangan mahkamah. Baru ada seorang kakak berusia 50 tahun yang telah 26 tahun berkahwin, yang mahu dicerai suaminya yang telah 5 bulan mengahwini gadis indon. Dia sempat bercerita sedikit kisah sedihnya, dia seakan meratapi nasib dirinya. Sempat juga saya menasihati kakak tersebut agar jangan menangisi nasib diri. Dicerai atau bercerai bukan bermakna berakhirnya hidup. Dengan kerjayanya sebagai seorang anggota polis saya katakan padanya kakak akan mampu lalui hidup tanpa suami. Jika suaminya merasa bahagianya ada bersama insan lain, jika suaminya merasa 26 tahun bersama dengan 4 permata hati masih belum cukup membahagiakannya, biarkan dia berlalu pergi bersama bahagianya itu. Dia kelihatan tenang selepas saya memberinya sedikit nasihat. Malah kakak itu terkejut, terkejut yang amat sangat sambil memeluk saya bila dia bertanya apa tujuan datang, saya katakan tuntutan cerai. Kakak tu kata "Ya Allah, akak ingat nak datang mohon nak berkahwin, awat nampak happy je tak macam orang nak bercerai??"...heheheh tak tau nak jawab apa!!

Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang 8.55 pagi :
Suami saya ( yang sebentar lagi akan jadi bekas suami saya : Bakal duda yang tidak duda sebab dia masih berstatus suami pada seorang lagi isterinya dirumah hehehe ) tiba diperkarangan mahkamah. Datang menyalami, memeluk & mengucup dahi saya seperti kebiasaannya bila berjumpa. Malah mungkin kami satu2nya pasangan pada pagi ini yang dalam proses bercerai masih berjalan berpegangan tangan, sekali sekali suami mengucup & memeluk saya. Sepanjang menanti kaunter dibuka suami tak lepas2 menggengam erat tangan saya ( harap2nya selepas ini tiadalah lagi tersasul adengan camni bila berjumpa, kacau jadinya nanti... hik hik hik ).. Alhamdulillah ketika pasangan lain yang mahu bercerai ada yang tidak mahu pun memandang muka pasangan yang masih sah isteri atau suami mereka, keadaan kami tidak begitu pada pagi ini.

Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang 9.10 pagi :
Kami ke kaunter pendaftaran untuk mengesahkan kehadiran, kemudian kami diminta masuk ke dewan mahkamah. Rasa berdebar bila kaki melangkah ke dewan itu. Tidak pernah terpikir nak masuk ke sini, tapi takdir Allah. Entah memang dewan itu sejuk atau saya yang merasa kesejukan yang amat.

Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang 9.40 hingga 10.30 pagi :
Ada bunyi loceng, kemudian kami semua diarah bangun. Ketibaan hakim rupanya. Hakim punyalah muda, saya bayangkan hakimnya mestilah beruban & berjanggut putih. Sehingga jam 10.30 pagi satu persatu kes disebutkan. Ada yang buat tuntutan perceraian, pengesahan perceraian, hak penjagaan anak, fasakh, harta sepencarian, pendaftaran pernikahan luar daerah, permohonan poligami, mohon wali hakim untuk pernikahan.... sehingga waktu itu nama kami tidak dipanggil untuk sebutan kes.

Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang 10.30 pagi :
Sidang ditangguhkan sehingga jam 11 pagi.

Kamar Hakim 10.40 pagi :
Kami dipanggil memasuki kamar hakim. Selepas sedikit soal jawab, hakim bertanya pada saya samaada tuntutan ini mahu diteruskan. Tentulah saya menjawab ya. Hakim bertanya pada suami bersedia atau tidak melepaskan saya pada hari ini, suami juga menjawab ya dengan sedikit penambahan " saya sedia melepaskan isteri saya demi kebahagiaan dirinya ". Hakim bertanya sekali lagi pada saya soalan yang sama. Jawapan saya juga masih sama. Kami diarahkan saling bermaafan. Saya mulai dengan meminta ampun & maaf, minta halalkan makan minum, duit ringgit harta benda serta ilmu didikan yang telah diberinya pada saya selama 23 tahun mengenalinya. Dia juga begitu, memang ada rasa getaran dalam jiwa kami. Ada rasa sebak dalam hati kami. Tak saya nafikan itu. Saya yang telah sedia sejuk semakin merasa sejuk berada dibilik yang telah sedia sejuk itu. Kami berdakapan erat buat kali terakhir. Sungguh ada air jernih yang mengalir dimata kami. Kucupan terakhirnya didahi saya terasa hangat dengat airmatanya....

Kamar Hakim 10.55 pagi :
Akhirnya setelah beristighfar, hanya dengan sekali lafas "saya Mohd Roshidan Hassan menceraikan isteri saya Junaidah Kassim dengan talak 1 " Dummmm... hakim mengetuk tukul besinya. hehehe itu bayangan saya saja.

Akhirnya terlerailah ikatan kasih sayang, cinta kami yang terjalin 23 tahun. 2 tahun sebagai anak muridnya, 21 tahun sebagai isterinya. Walau kami sudah tidak sebumbung selama lebih kurang 7 bulan, tetapi mulai hari ini rasmilah saya bukan isterinya lagi & sudah tentu dia bukan suami saya lagi. Ikatan yang kami jalinkan tanggal 3 jun 1989 terlerai dikamar itu hanya dalam tempoh 10 minit. Sedangkan kami bersusah payah, mengalir keringat & airmata untuk membina mahligai ini. Itulah takdir Allah, itulah perancangan Allah yang kita tidak tahu & jangkakan.

Kawasan Letak Motorsikal Mahkamah 11.00 pagi :
Walaupun kata2 menjadi sahabat yang baik sering berlegar dibibirnya, saya minta dia sendiri fikirkan apa erti sahabat yang baik itu. Harapannya semoga masih ada jodoh kami dikemudian hari nanti saya sambut dengan hilaian ketawa manja. Dia bertanya mengapa ketawa.. saya katakan kalau ada harapan itu tak perlulah kita berada di mahkamah pagi ini. Seperti biasa itulah yang sering keluar dari mulutnya, harapan akan masih ada jodoh antara kami nantinya... dimasa depan, dihari tua katanya.

Itupun jika saya tak kahwin lagi katanya. heheheh iddah pun baru bermula dia dah cakap soal saya kahwin lagi. Dia masih sempat merisik adakah saya sudah ada calon. Saya katakan padanya jika saya dah ada calon suami, dia orang pertama yang akan saya perkenalkan calon suami saya nanti... adoi!!! mungkinkah semudah itu saya mendapat pengganti atau mencari pengganti?? Semudah itukah saya membuat keputusan untuk mengakhiri title janda saya?? Mungkin dia sudah lupa, kerana sudah banyak mungkin yang dia lupa tentang saya setelah membina cinta baru... Saya selalu katakan padanya, tak semudah memetik jari, tidak semudah mata berkelip saya membenarkan insan lain menyentuh saya, menjaga saya setelah dia. Katanya lagi jika nak cari suami lagi carilah yang beriman, yang penyabar, yang tidak panas baran. Katanya dia tak rela saya diapa2kan oleh suami baru nanti. Saya katakan padanya, tak mungkin Allah akan memberi lagi sesuatu yang sama berulangkali pada kita hambaNya yang tidak sebaik mana dalam mengingatiNya... Allah telah beri saya sekali, cukuplah... saya bersyukur dengan kurniaan selama 21 tahun ini.

Kawasan Letak Motorsikal 11.30 pagi :
Ajakannya ke KIP saya tolak. Saya tak mahu menjadi tetamu yang tak diundang. Saya tak mahu menjadi punca masalah. Walaupun katanya pintu rumah mereka sentiasa terbuka untuk saya melawat anak2, saya seorang perempuan saya lebih tahu hakikatnya. Saya minta izinnya untuk melawat anak2 disekolah sahaja. Saya juga meminta dia jangan culas menghantar anak2 bersama saya ketika cuti sekolah. Jangan biarkan rasa rindu saya pada anak2 bak lautan tak bertepi. Jika masih ada ihsan darinya pada saya sebagai Mama anak2 nya, saya amat berharap janjinya pada saya yang satu ini ditunaikan. Itu sahaja saya minta. Saya tak minta nafkah iddah, saya tak minta tuntutan harta sepencarian, saya tak minta tuntutan hak jagaan anak2 darinya. Saya tak minta apapun, saya cuma minta ihsan, belas kasihan padanya tolong hantar anak2 pada saya di TSI bila cuti sekolah & cuti hujung minggu. Anak2 kesana itu lebih baik dari saya ke KIP melawat anak2.

Watson Prima Tanjong, Tanjong Tokong 11.40 pagi :
Sampai ditempat kerja Kak Uda. Ziarah Kak Uda lebih kurang, faham dia agak sibuk dengan customer. Saya bergerak ke Sekolah Kebangsaan Tanjong Tokong.

Sekolah Kebangsaan Tanjong Tokong 12 tengahari :
Bersemangat tunggu anak2 PraSekolah beratur ke pondok menunggu tapi Adnin tak ada. Cikgu datang beritahu Adnin tunggu dalam kelas sebab Baba bagitau ambik lambat sikit. Saya bergegas mendapatkan Adnin dalam kelas. Dia terkejut memandang saya tapi dengan selamba jer. Tiba2 baru dia perasan yang dia lihat tu mamanya, baru dia berlari mendapatkan saya, memeluk & mencium saya bertalu2. Sambil menunggu Kakak balik 12.40 saya meluangkan masa bersama Adnin. Macam biasa, macam2 yang dia borakkan.

Sekolah Kebangsaan Tanjong Tokong 12.40 tengahari :
Kakak berlari mendapatkan saya, memeluk saya sambil kemudian dia menangis teresak2. Rindu pada saya katanya. Dia kata Kakak ingat ustazah bohong bagitau Mama datang ambil.

Sekolah Kebangsaan Tanjong Tokong 12.45 tengahari :
Baru tak sampai 2 jam menjadi janda, saya dapat panggilan telefon dari 'seorang duda yang tidak duda' mengajak saya dating. Saya katakan padanya saya mesti bawa anak2, sebab saya janda beranak 7, kalau nak dating dengan saya kena dating dengan anak2 saya juga. Kah kah kah... Bekas suami saya yang juga Baba 7 permata2 hati saya ajak saya p makan mee sifu yang memang menjadi kegemaran kami sekeluarga dahulu. Dulu selalu kami p makan ramai2 kat sini. Dua meja penuh dengan keluarga saya.

Gerai Mee Sifu, Tanjong Tokong 1.30 tengahari :
Kami berpisah disini. Saya tak ke KIP langsung kali ni. Kakak & adik yang tadi bersama saya naik motor saya lepaskan bersama Baba mereka. Walau rindu belum terubat bersama dua sikecil saya ini, tetapi saya perlu melangkah pergi.

SMKA (P) AlMashoor 1.35 tengahari :
Saya meneruskan perjalanan saya ke sekolah Kak Teh. SMKA(P) Almashoor. Sambil menunggu Kak Teh sempat berborak2 kosong dengan Ustazah Che Maznah & Cikgu Khairana. Pernah menjadi AJK PIBG disekolah ini dahulu, sejak itu hubungan dengan guru2 agak rapat. Niat hati nak jumpa pengetua, Ustazah Solehah Awang tapi beliau tak ada pulak.

Berbual lebih kurang dengan Kak Teh, beri dia sedikit harapan, semangat untuk meneruskan study for PMR. Mendengar serba sedikit luahan dia sebagai anak yang telah memiliki Baba & Mama yang telah berpisah. Yang tidak lagi akan duduk sebumbung dengan mereka dalam satu masa yang kami berdua ada. Dia anak yang baik, yang memahami begitu juga dengan kakak2, abang & adik2nya semoga mereka semua dapat menerima keputusan ini dengan berlapang dada. Kami tetap sayang mereka seperti dahulu, tak pernah berubah walau sedikit pun.

SMKA (P) AlMashoor 3 petang :
Saya melangkah meninggalkan Kak Teh yang kelihatan agak berat melepaskan saya balik ke TSI Sungai Petani. I'Allah sayang nanti kita berjumpa lagi. Jagalah diri kalian, hati kalian baik2. Jangan jadikan masalah Mama & Baba kalian sebagai sesuatu yang membelenggu hidup kalian. Kalian ada masa depan yang cemerlang. Kalian anak2 kami yang paling baik & sempurna. Berjuta remaja sebaya kalian, yang menghadapi masalah seperti keluarga kita, tak setanding mereka dengan kalian. Kalian cukup tabah, cukup tenang menghadapi pelbagai kemelut ini, kalianlah yang lebih layak dipuji & dihargai berbanding kami. Alhamdulillah, sekarang Mama telah leraikan kemelut ini dengan mudah bersama Baba. Jangan risau, kasih sayang kami hanya untuk kalian.

TSI Sungai Petani : 4.30 petang :
Saya sampai dirumah dengan selamatnya. Dengan semangat baru, dengan title baru, dengan diri baru, dengan hidup baru... I'Allah... Semoga Allah akan sentiasa bersama saya, melindungi diri saya dengan status baru ini. Status yang cukup ditakuti oleh semua wanita... JANDA!!!




16 ulasan:

Afnan Fathurrahman Mrh berkata...

awat tak melawat UniSZA ngan UPSI skali mama?hehehe

Atika Natasha berkata...

alhmdulillah smua dah slesai..m0ga mama akn lebih kuat!chaiy0k!

azza_irah berkata...

Alhamdulillah..

Mama memang seorang yang sgt kuat...
semoga semakin kuat..

Tanpa Nama berkata...

... dan bermulalah suatu perjalanan menuju penghidupan yang semakin mencabar.

Semoga MM sentiasa di dalam rahmatNya dan mungkin akan terkenal pada suatu ketika nanti. InsyaAllah.


-Kay

WANNY berkata...

as salam. sy terbaca blog akak tp sya baca cite yg ni je. sedihnya...nangis sy bac part akak pegi jumpa anak2 lepas dah sah cerai. smoga akak dan anak-anak tabah *w/pun sy x tahu pucuk panggal cite*

hrusli61 berkata...

Saya cuba bayangkan Arasy bergegar pada ketika itu. Namun kita doakan Allah SWT memberi rahmat keampunannya kepada kita.

Semua insan yang ada semada yang rapat atau tidak adalah milikNya. Dia berhak memberi dan mengambilkannya pada bila-bila masa sahaja.

Saya baru terpisah dengan anak angkat yang kami bela selama selama 6 tahun. Telah diambil kembali oleh ibu kandungnya dengan perintah mahkamah.

Berat badan saya turun 10kg kerana amat merinduinya pada awal dahulu.

Allah berkat memberi dan mengambil.
Alhamdulillah hidup perlu diteruskan.

MaMa MoDeN berkata...

salam ngah, memang ada niat dihati nak rempit ke UPSI tg malim & UNISZA gong badak tu, tp ingat angah tak bagi masa mama kata nak g ganu naik motor ritu.. angah lani waris kuat mama, kenalah dgr cakap angah... hehehhe

MaMa MoDeN berkata...

saudara rusli,
saya berpegang pd kata2 bekas mufti perlis ust asri, beliau kata pceraian halal wlu dibenci Allah, tp takkan bgegar tiang arash hanya krn pceraian kita hambaNya yg amat lemah ni, siapalah kita nak menggegarkan tiang arash Allah YANG MAHA KUKUH!!!...

Junaini Kassim berkata...

sprti sllu airmata ni kuar jga...sdari 30mac i sik rsau tntg u...igt ank2 u...igt saat2 mnis u n ba..igt ssh nye klian tempuh 23thni brsama....u yg lbh tngkn i..maaf u...sprt yg u kate..kalian yg berenang tp i yg klemasan...i hrp u trus tbh yer..fasa baru hidup u bru brmula...sabar n tawakal pde Nye...

MaMa MoDeN berkata...

salam dik nanie,
I'Allah doakan i selalu..
dah, dah u tu jgn asyik berenang je.. asyik berenang kaki boleh krem tu yg kelemasan tu... dah naiklah cepat ketepian agar tak lagi kesejukan & kelemasan... pertandingan berenang dah TAMAT!!!

p/s : lagi satu update blog u ni.. pelik jer i nengok nyer....hehehe

ckLah @xiiinam berkata...

Jaga diri baik-baik ya MM...



(ckLah tak tau nak tulis apa sebenarnya.....kehilangan kata-kata...)

MaMa MoDeN berkata...

salam cklah..
terima kasih yer.. hehehe jgn kehilangan kata2 cklah nanti ssh nak ngajor dalam kelas...:)
I'Allah MM akan jaga diri baik2...

Tanpa Nama berkata...

allah s.w.t sgt syg kn mama sbb tu ujiannya dtg bersama mama.doakan sy mendapat kekuatan seperti mama ea..aminnnnn =)

Tanpa Nama berkata...

Salam..maksu...fadzlina doakan semoga maksu terus tabah..kuatkan keimanan dan pengharapan hanya satu-satunya pada Allah Rabbul Jalil..insyaAllah..

-fadzlina (si kembaq)

MaMa MoDeN berkata...

salam ina,
I'Allah...

p/s : cadngan panggilan baru untuk bekas maksumu ini...'untie june'... heheheh

Syahiiiiiirah. berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.