Assalamualaikum.....
Poligami itu indah, tetapi berapa ramai lelaki yang benar-benar mampu menghayati keindahannya.
Memang murni harapan dinyatakan. Tetapi secara realitinya, berapa ramai sangat lelaki yang sanggup melaksanakannya.
Hari ini, kebanyakan lelaki yang berpoligami memilih gadis muda khususnya yang masih bergetah sebagai isteri kedua, bukannya ibu tunggal yang sudah mempunyai anak berderet ataupun gadis lanjut usia. Jika adapun, mungkin seorang dua daripada ratusan, atau mungkin ribuan lelaki.
Bagi masyarakat, apabila wanita atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita meluahkan rasa kebimbangan terhadap isu poligami, pasti dianggap menentang hukum agama sehingga ada yang mempertikaikan tahap keimanan pihak terbabit.
Hakikatnya, tiada siapa yang mempertikaikan hukum yang termaktub dalam al-Quran itu. Poligami adalah harus hukumnya dan kita juga bersetuju jika seseorang lelaki itu berkemampuan dari segi zahir dan batin, mampu berlaku adil kepada semua isterinya, mengapa hendak dibantah.
Tetapi, apa yang kita bimbangkan jika poligami itu diiringi dengan ketidakadilan daripada pihak suami, dan seterusnya menzalimi wanita. Wanita setabah mana sekalipun akan bangkit menyuarakan hak apabila diri dianiaya.
Ada lelaki apabila sudah mendapat hajat di hati, isteri tua lazimnya ditinggalkan sendirian menguruskan anak yang ramai. Entah makan, entahkan tidak. Malah, dalam beberapa kes, ada wanita yang langsung tidak menerima khabar berita si suami apabila sudah memperoleh ‘orang’ baru.
Ketika itu, ada suami yang sudah lupa tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak sehingga tidak balik ke rumah berbulan-bulan lamanya hanya kerana terlalu asyik dengan cinta barunya. Setiap masa diluangkan bersama si gadis yang mencuri hati, tetapi kepada si isteri sentiasa tiada masa untuk menjenguk, alasan diberikan kesibukan kerja.
Wajarkah pada masa yang sepatutnya dihabiskan dengan melihat buku sekolah anak atau bermain dengan mereka, si suami sibuk menyulam cinta? Itu baru sedang bercinta, belum lagi berkahwin. Bayangkan bagaimana keadaannya apabila sudah berkahwin, mungkin lupa jalan balik ke rumah isteri tua.
Dalam hubungan ini, suami perlu berlaku adil bukan saja dari segi zahir, bahkan juga emosi. Ada yang mampu menyediakan keperluan harian seperti harta, pakaian, makan dan minum, tetapi perasaan isteri tidak dijaga, malah anak yang sepatutnya menjadi perhatian utama diabaikan.
Keadilan bukan saja membabitkan isteri pertama, sebaliknya isteri kedua dan berikutnya. Jika selama ini kita sering mendengar kisah penganiayaan terhadap isteri pertama, isteri-isteri lain juga apa kurangnya. Ada lelaki yang berpoligami, tetapi apabila tembelang sudah pecah, isteri tua melarang si suami balik menjenguk isteri keduanya sehingga menzalimi hak isteri berkenaan.
Justeru, beberapa tahun lalu Persatuan Isteri Kedua ditubuhkan bagi memastikan hak isteri dalam poligami khususnya isteri kedua dan berikutnya, terjamin.
Betul, bukan semua lelaki yang gagal melunaskan tanggungjawabnya apabila berpoligami, tetapi jika dilihat kepada laporan yang diterima oleh jabatan agama, itulah senario yang berlaku. Hakikatnya, agak sukar untuk berlaku adil jika nawaitu asal seseorang untuk berpoligami tidak betul.
Islam membenarkan poligami, tetapi tidak bermakna ia boleh diamalkan sewenang-wenangnya kerana ada garis panduan yang perlu diikuti bagi mengelakkan kezaliman kepada pihak wanita.
Dr Yusuf al-Qardawi dalam kitab Halal dan Haram Dalam Islam menggariskan jika seseorang lelaki itu gagal mengikuti syarat ditetapkan apabila berpoligami, maka haram hukumnya.
Justeru, tepuk dada tanya selera. Bagi lelaki, poligami itu indah, tetapi lebih indah jika diserikan dengan pemahaman yang tinggi, manakala bagi wanita pula siapa yang tidak hendak mengejar ‘payung emas’, namun dalam pencarian itu peritnya hanya kita yang tahu.
Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang telah dirancangNya buat kita yang bernama hambaNya...
bolehkah "madu" itu menjadi manis seperti madu lebah ini?...
2 ulasan:
Salam .
Allah hanya izin kepada mereka yang cukup syarat dan adil sahaja.
Tanpa syarat yang cukup Allah tidak izin, sekiranya terlaksana juga akan berlaku seperti yang diungkapkan oleh Yusof al.Qardawi.Wallahu aklam.
Subject yg amat gerun utk wanita. Tapi pada akak apa nak kita ungkitkan kalau suami dah jatuh cinta pada yg kedua ker, ketiga ker atau ker empat??
Cinta itu buta, yg sanggup dia, dia lah yg menanggong di akhirat kelak. Kita hanya perlu didik diri dan jiwa rohani kita menerima dgn redho, jgn tinggal mengerjakan suruhan Allah, so hanya yg terbaik kita pohon pd Allah utk akhirat nanti.
Subhanallah..Allah hu Akbar.
Catat Ulasan