New Page 1

Selamat Datang ke Blog Mama Moden

Related Posts with Thumbnails

23 Januari 2010

Salam Takziah

Assalamualaikum.....


Salam Takziah buat Kerabat DiRaja Johor Darul Takzim diatas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail. Sebagai anak kelahiran Johor saya turut sama bersedih atas kemangkatan Almarhum.

Malah turut juga rasa bersalah kerana kemangkatan Almarhum baru saya ketahui jam 2 petang tadi. Ini kerana sejak dua hari ini saya berada dalam keadaan tidak sihat. Hanya berbaring dikatil & tidur. Saya tidak menonton tv ataupun melihat internet.

Sudahlah lama saya tidak balik ke negeri tanah tumpah darah saya, ini Raja Negeri saya mangkat pun agak lewat saya mengetahuinya.

Saya hanya sempat melihat secara langsung majlis pemakaman Almarhum sejak 2 petang tadi. Sebagai Sultan yang dikenali sebagai Raja berjiwa rakyat, semoga Roh Almarhum ditempatkan dikalangan orang2 yang beriman.
Sewaktu majlis pemakaman tadi hati saya begitu berbangga pada cucunda Almarhum iaitu Tengku Ismail Ibrahim yang begitu bersusah payah membantu pemakaman Almarhum Nendanya dari mula hingga keakhir. Tengku Ismail kelihatan menyinsing seluarnya & dibasahi peluh kerana bersungguh2 menabur tanah ke pusara Nendanya. Tahniah kepada Kerabat Diraja ini yang memang dikenali sebagai Kerabat yang begitu dekat dengan rakyat.

Sedangkan ada ahli2 keluarga dikalangan kita yang kematian ahli keluarga yang tidak mahu menguruskan jenazah orang2 terdekat kita. Saya pernah menyaksikan ketika kematian Mak Saudara di Kedah, ketika diminta salah seorang cucunya menyambut Allahyarham didalam liang, beliau berkata tidak mahu kerana takut seluar kotor & tak bawa seluar ganti.

Sedikit belasungkawa Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail :

Sultan Johor Sultan Iskandar, yang mangkat pada hari jumaat pada usia 77 tahun, adalah seorang Raja yang tegas tetapi adil dan sentiasa mahukan yang terbaik bagi rakyat, menjadikan negeri Johor sebagai antara negeri termaju di negara ini.

Baginda yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981, mangkat pada 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.

Baginda meninggalkan Sultanah Johor, Sultanah Zanariah serta dua putera dan lapan puteri iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor Tunku Hajah Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah, Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah Ismailiah, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri Tunku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.

Semasa pemerintahan baginda, Sultan Iskandar dikasihi pelbagai lapisan rakyat negeri Johor atas bimbingan dan perhatian berterusan baginda terhadap segala naungannya. Baginda bukan sahaja bijak dalam hal keagamaan dan pemerintahan tetapi juga dalam pelbagai bidang lain seperti ketenteraan, sukan dan perniagaan.

Baginda sering bertitah mengingatkan rakyatnya agar sentiasa hidup bermuafakat, bersatu padu dan bekerja bersungguh-sungguh bagi menjamin kebahagiaan negeri Johor. Sultan Iskandar dianugerahkan ijazah Doktor Kehormat Undang-undang oleh The National University of Singapore (NUS) pada 12 April 2007 sebagai mengiktiraf peranan baginda dalam kemajuan dan kemakmuran negeri itu serta sumbangan baginda terhadap hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

Dalam menjaga hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, baginda sering menjemput pemimpin Singapura ke Istana Bukit Serene di Johor Baharu semasa sambutan Hari Raya. Sultan Iskandar, yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 26 April 1984 hingga 25 April 1989, diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932 merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Menggemari permainan polo, papan layar, golf dan memburu, baginda merupakan juruterbang bertauliah dan pernah mendapat latihan asas ketenteraan dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

Baginda merupakan Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor yang diasaskan dan ditubuhkan oleh moyang baginda Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1885. Minat baginda dalam bidang ketenteraan jelas dilihat daripada perwatakan baginda yang sentiasa segak beruniform tentera dan ketegasan baginda dalam soal disiplin.

Sultan Iskandar pernah menyertai batalion kedua Askar Wataniah di Johor Baharu pada 1960 dan berkhidmat dengan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pegawai dan dilantik sebagai Kolonel Yang Dipertua Rejimen Gerak Khas. Sebagai Ketua Agama Negeri, baginda sentiasa mengadakan hubungan erat dengan Majlis Agama Negeri atau pentadbiran jabatan berkenaan untuk mengikuti perkembangan dan masalah agama.

Baginda sendiri turut menyampaikan khutbah-khutbah Jumaat di masjid-masjid sekitar Johor. Di arena sukan, baginda terkenal sebagai peminat dan ahli sukan dalam pelbagai acara yang mencabar seperti golf, tenis, tinju, luncur layar, ski air, menyelam, berenang, payung terjun, lumba kereta dan menunggang motosikal berkuasa tinggi. Baginda merupakan seorang juruterbang helikopter dan pesawat ringan yang dikagumi.

Sultan Iskandar yang turut gemar berburu, sering menasihatkan rakyat negerinya agar menceburi sukan menembak kerana baginda percaya sukan itu akan muncul sebagai sukan utama di masa hadapan. Ketika merasmikan Kejohanan Menembak Sultan Iskandar Challenge Trophy 1997, baginda bertitah sukan itu bukan lagi menjadi aktiviti yang dikhususkan kepada golongan berada tetapi terbuka kepada semua golongan kerana yuran dikenakan oleh kelab menembak adalah kecil.

Hasrat baginda itu kini menjadi kenyataan kerana Malaysia mula muncul sebagai antara negara yang mempunyai penembak terbaik di peringkat antarabangsa. Dan sehingga kini, Persatuan Penembak Clay Target Johor (JCTSA) terus menganjurkan pertandingan menembak Piala Sultan Iskandar, yang melibatkan penembak tempatan dan luar negara, sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Iskandar.

Selain sukan menembak, Baginda turut memberikan sokongan kepada sektor pelancongan dengan seringkali mencemar duli menghadiri Festival Layang-layang Antarabangsa di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang yang menjadi venue tetap acara itu. Titah baginda, penganjuran agenda bertaraf antarabangsa merangkumi acara-acara sukan, rekreasi serta temasya layang-layang dapat memberikan imej antarabangsa kepada Johor dan Malaysia.

Sultan Iskandar menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Baharu sebelum melanjutkan pelajaran di English College (sekarang Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Baharu dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Australia pada usia 16 tahun sebelum ke Devon Technical College, England lima tahun kemudian. Setelah menamatkan pengajian pada 25 Januari 1956, baginda pulang ke Johor pada 1956 dan terus berkhidmat sebagai pegawai tadbir dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor sehingga 1959.

Sultan Iskandar dilantik Tengku Mahkota Johor pada 8 Mei 1959 berikutan kemangkatan Nenda Baginda, Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di London. Pada Disember 1966, Baginda dilantik Raja Muda Johor oleh Ayahanda Baginda dan turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan menubuhkan beberapa syarikat seperti Mados Enterprises dan Mados-Cito-Daiken.

Pada 10 Mei 1981, baginda dilantik Pemangku Raja selepas Sultan Ismail gering dan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor ke empat dalam sejarah Johor moden pada 11 Mei 1981.


Sepanjang majlis pemakaman tanpa disedari airmata saya mengalir kepipi. Rupanya saya masih anak Johor.............


Alfatihah..



Tiada ulasan: