Assalamualaikum.....
Benarkah jiwa lelaki sukar difahami? Lelaki pula berkata jiwa wanita yang payah dimengertikan! Sebenarnya jiwa manusia tidak kira lelaki atau perempuan mempunyai keunikan tersendiri. Sesiapa yang suka mengkaji dan menilai dirinya maka dia akan menemui jalan untuk menguasai dirinya itu dan mengawalnya ke arah yang diredai Allah SWT.
Selain disuruh mengenal kelemahan dan kekuatan diri sendiri, kita juga dianjurkan untuk membantu pasangan untuk berbuat yang sama supaya keimanan rumahtangga dapat dikecap bersama. Tak hairan jika ada isteri yang cuba menyelongkar rahsia suami, fail-fail cinta semasa bujangnya dan sejarah hidupnya daripada mertua. Tetapi ramai yang mengambil pendekatan ‘past is past, life must go on’. Jangan usik yang lama, sekarang tiba masa lebaran baru dibuka.
1. Jiwa yang unik
Suami dan isteri merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang unik, mereka bukan malaikat dan bukan juga haiwan. Jadi tidak mungkin suami dan isteri memiliki sifat seperti malaikat yang suci daripada dosa dan mereka sepatutnya tidak berperangai seperti binatang yang hanya mengutamakan kepuasan nafsu semata.
Mereka adalah manusia yang dimuliakan berbanding makhluk lain kerana karakter unik yang dibekalkan Allah sehingga malaikat dan iblis pun diperintah untuk sujud tanda penghormatan. Karakter pemimpin mesti dijiwai dalam diri suami dan isteri sesuai dengan matlamat penciptaan manusia sebagai khalifah Allah di bumi. Jika anda berdiri sebagai seorang pemimpin, sudahkah anda tunaikan segala tanggungjawab sebagai suami dan isteri?
2. Jiwa yang berilmu
Ketinggian ilmu melahirkan karakter bersih. Suami yang suka mengkaji al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW dan mengamalkan apa yang dipelajari tidak akan melakukan kezaliman kepada anak dan isteri. Begitu juga isteri, fahamilah suami dengan ilmu, bukan emosi.
Agama hendaklah menjadi sandaran dalam berkasih sayang. Jika suami boleh merancang percutian keluarga sekali setiap tahun, maka bolehkah mereka merancang mengkhatamkan al-Quran dan tafsirnya sekali setahun bersama anak-anak? Ilmu mampu menghidupkan jiwa, melahirkan peribadi yang bersih dan menumbuhkan kasih sayang.
3. Jiwa rindu hidayah
Suami dan isteri memiliki jiwa yang rindukan hidayah Allah. Mereka berasa tidak tenang, sedih, dukacita, dihimpit masalah jika kehilangan hidayah. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Maka barang siapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah, ayat 30)
Jiwa suami akan tenang jika isteri menjaga agamanya, begitu juga sebaliknya. Jika anda dan suami menghadapi konflik, sebenarnya punca utama adalah jiwa yang kering dari hidayah Allah SWT. Di manakah hidayah?
Hidayah perlu dicari di dalam majlis-majlis ilmu, ketika bersama para ulama yang boleh membimbing dan mengasuh jiwa. Ketika membaca al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW serta memfokuskan hati kepada-Nya, ketika solat dengan kenikmatan khusyuk, ketika bergaul dengan orang-orang soleh dan ketika rela mengorbankan apa saja kerana mengharapkah redha Allah SWT. Apakah hidayah boleh bertambah dan berkurang? Ya, jangan biarkan hidayah itu hilang kerana maksiat dan kelalaian anda.
4. Jiwa diliputi nafsu
Kekuatan manusia terletak pada ilmu dan hidayah yang dimiliki sedangkan kelemahan yang paling besar adalah mereka dapat dikalahkan oleh hawa nafsu. Allah Taala berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh manusia berbuat kejahatan.” (Surah Yusuf, ayat 53)
Jika suami rasa tergoda dengan wanita lain, ingatlah itu angkara hawa nafsu, kalau isteri suka sangat berleter, marah-marah, merajuk tak mahu dipujuk, ingatlah itu angkara hawa nafsu. Apabila ibu bapa membiarkan anak tanpa jagaan dan didikan disebabkan tamak harta, ingatlah, itu juga angkara hawa nafsu. Jika hawa nafsu dapat dipatahkan, maka Bahagialah keluarga yang dibina.
5. Jiwa suka bertaubat
Tiada manusia yang sempurna, mereka semua pernah berdosa. Hanya manusia yang cepat bertaubat yang paling baik di sisi Allah. Taubat seakan-akan khabar gembira yang disampaikan kepada Allah SWT, ia tentang kembalinya seorang hamba, pulang setelah lama tersesat dan dia akan disambut dengan tangan terbuka dan dakapan hangat mengalu-alukan kedatangannya.
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah gembira menerima taubat hamba-Nya melebihi kegembiraan seseorang yang menemukan kembali untanya yang hilang di padang pasir yang luas.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Seandainya dosa itu dapat dihidu, nescaya manusia akan lari disebabkan terlalu buruknya bau dosa tersebut, tetapi Allah SWT Maha Pengampun, ditutupi segala aurat kita dan diberi peluang untuk kita bertaubat. Bahkan Dia melafazkan kata cinta kepada hamba-hamba yang suka bertaubat dalam firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan suka membersihkan diri.” (Surah al-Baqarah, ayat 222)
Ajaklah pasangan anda bermuhasabah dan kemudian bertaubat atas segala kejahatan diri. Fahamilah jiwa pasangan anda, kelemahan dan kekuatannya supaya tercapai matlamat kehidupan anda yang sebenar iaitu mencapai kebahagiaan di sisinya, di dunia dan di akhirat dengan redha Allah SWT.
1 ulasan:
Salam. Terima kasih atas info menarik ini.
Catat Ulasan