New Page 1

Selamat Datang ke Blog Mama Moden

Related Posts with Thumbnails

30 Ogos 2011

Salam Aidilfitri... MaaF ZaHiR & BaTiN....Semoga Alah Bisa Tegal Biasa!


Assalamualaikum.....

Tak tahu bagaimana mahu memulakan catatan ini. Padam tulis, padam tulis. Hati mahu melahirkan nukilan catatan, tetapi perasaan mengatakan tak perlu. Naluri mahu meluahkan apa yang dirasa, tetapi akal mengatakan biarkan.

Akhirnya saya mengikut apa saja yang rasa mahu. Saya melahirkan apa saja yang saya rasa. Saat ini saya benar2 sedang melalui saat2, pengalaman yang akan saya kenang sepanjang hidup saya.

Pertama kali sepanjang usia 21 tahun saya berkeluarga, saya menyambutnya kali ini tanpa sebuah keluarga itu. Menyesalkah saya!!! Ralatkah saya!!!

Tidak!!! Saya sama sekali tidak menyesal dengan keputusan yang saya ambil, cuma sebagai manusia biasa yang serba kekurangan, yang masih punya ingatan, ketika ini saya terkenangkan juga saat2 menghadapi syawal, kesibukan menjelang syawal, sibuknya saya sebagai seorang suri menyediakan kelengkapan aidilfitri.

Awal2 berkeluarga, kami tidak lepas pulang ke kampung bekas suami di Kedah. Amat jarang sekali saya menyambut syawal di negeri kelahiran saya, Johor. Seingat saya sepanjang 21 tahun perkahwinan, hanya 4 kali saya sekeluarga beraya di Johor. Kesibukan persiapan syawal di kampung sama saja dengan persediaan dirumah sendiri.

Menjadi satu keWAJIPan bagi kami beraya di Kedah bersama keluarga mertua. Bermula 2003, selepas bekas mertua meninggal dunia, barulah kami sekeluarga menyambut syawal di rumah kediaman sendiri. Selepas solat aidilfitri atau raya kedua baru kami pulang ke kampung bekas suami menziarahi saudara2 kandungnya.

Semakin anak2 membesar, mereka semakin ada agenda sendiri berhari raya. Kadang2 menetapkan temujanji beraya bersama rakan2, jadi agenda beraya di kampung semakin kurang apabila anak2 semakin membesar.

Namun begitu aktiviti beraya bersama masih tetap kami jalani sekeluarga. Menjelang syawal semua anak2 saya akan berganding bahu membantu saya mengemas rumah, menyediakan hidangan raya & sebagainya. Kadangkala bukan pulun sangat buat kerja, tetapi sekadar meriuhkan suasana meneman saya membuat persiapan sehingga selesai. Cuma apabila mereka semakin membesar, tugas2 mengemas memang saya serahkan kepada mereka bagaimana mahu mengemas & menyusun atur. Saya hanya menumpukan tugas2 memasak.

Menu utama keluarga kami, sudah tentulah hidangan tradisi lontong. Pernah ada tahun2 yang kami ubah menu lain, anak2 akan berkata macam tak raya kalau tak buat lontong di pagi raya... :)

Pada awal2 saya berstatus ibu tunggal, saya memang membayangkan tahun ini saya akan meraikan syawal bersama anak2. Saya menjangkakan baba mereka pastinya akan beraya dikampung isterinya, maklumlah dengan tiada lagi perkongsian pastinya mereka akan meraikan syawal berdua menziarahi sanak saudara baru bekas suami.

Tetapi menjelang ramadhan & semakin menghampiri syawal tiada tanda2 yang saya akan dapat meraikan syawal bersama anak2 saya. Saya menjangkakan dengan masa yang sepenuhnya baba mereka telah bersama mereka berbanding saya, sudah tentulah dihari2 begini baba mereka akan senang hati & berlapang dada menyerahkan anak2 beraya bersama saya.

Jumaat lepas, saya memohon benar2 memohon agar dia berlapang dada melepaskan & menghantar anak2 kepada saya menjelang syawal. Tetapi nadanya masih mahu beraya dengan anak2, selepas raya baru dia berjanji menghantar anak2 pada saya. Akhirnya saya minta biar anak2 yang buat keputusan nak beraya dimana. Ada yang memang benar2 mahu beraya bersama saya, ada yang mahu bersama baba mereka, ada yang tak tahu nak beraya dimana.

Akhirnya selepas solat asar di tempat kerja, saya terfikir yang memang saya harapkan sebelum ini. Kalaupun kami tidak dapat beraya sekeluarga bersama seperti 21 tahun ini, saya amat berharap anak2 kami, mereka 7 beradik dapat beraya bersama dipagi syawal. Saya tak mahu mereka terpisah2, sorang sana sorang sini. Lagipun saya tak mahu anak2 berada dalam keadaan serba salah. Saya tahu mereka sayang kami berdua.

Akhirnya kepada bekas suami saya putuskan tak apalah anak2 beraya dengan dia dulu. Kepada anak2 yang beria2 mahu beraya bersama saya, saya minta mereka beraya bersama baba mereka. Saya cuma mahu mereka bergembira bersama adik beradik, bersama baba & ibu mereka. Saya akan menanti kehadiran mereka selepas syawal nanti. Mengalah bukan bererti saya kalah. Saya cuma mahu meneruskan kehidupan ini dengan jiwa yang tenang, tidak serabut2.

Sepanjang jumaat & sabtu, apabila keluarga saya di Johor mengetahui saya akan beraya seorang di Sungai Petani, mereka meminta saya balik ke kampung. Sudah tentulah beraya di kampung saya tiada dalam agenda saya tahun ini. Selain tiada bajet, saya cuma mahu beraya bersama anak2.

Selama sehari semalam tu, adik beradik saya asyik mesej menghubungi saya agar beraya bersama mereka di kampung. Apahal pulak beraya sorang2 macam tiada keluarga.

Menjelang ahad, selepas solat subuh baru saya ambik keputusan untuk balik beraya dikampung dengan apa adanya. Saya berkata pada diri sendiri sekiranya tanganku tidak dapat dikucup oleh anak2 dipagi syawal, sekurang2nya masih ada tangan mak abah saya yang boleh saya kucup di pagi syawal nanti. Saya mudahkan jalan pemikiran saya. Saya tidak mahu memberatkan perasaan saya dengan perkara2 yang boleh dipermudahkan. Raya tidak penting, yang penting saya dapat bersama anak2 tak kiralah hari apa, pada waktu mana & bila.

Selama puluhan tahun amat payah untuk saya beraya bersama mak abah & adik beradik. Saya anggap inilah hikmah dari saya tidak dapat beraya bersama anak2, Allah mahukan saya meluangkan masa bersama mak abah yang sudah tua. Dengan kepulangan saya mungkin meriangkan sedikit hati mereka menyambut syawal, mudah2an.

Walau pada mulanya saya risau beraya disini, apa anggapan anak2 pada saya nanti. Mungkinkah mereka akan menyangkakan saya tidak peduli atau tidak kisah saya tidak beraya dengan mereka. Saya tidak mahu fikir & bayangkan apa yang anak2 mengandaikan saya. Saya serahkan semua andaian itu menjadi hak milik Allah. Tetapi saya tahu hanya Allah tahu, saya sudah berjuang & merayu agar dapat beraya bersama mereka tetapi baba mereka juga berkeras mahu beraya dulu dengan anak2. Tak mengapalah saya mengalah lagi.... saya dah letih bersoal jawab dengan dia!!!

Dikesempatan dinihari syawal ini, saya titipkan doa kerdil yang kudus, agar pengorbanan perasaan saya melepaskan anak2 beraya bersama baba mereka akan memberi kegembiraan & kebahagiaan buat anak2 saya. Semoga baba mereka benar2 dapat memastikan anak2 benar2 gembira & bahagia dengan suasana baru dalam hidup mereka dalam menyambut syawal. Semoga jika ada sedikit kegembiraan, kebahagiaan yang ada pada saya, saya mohon Allah serahkan rasa itu pada mereka 7 beradik.

Saya bukan mama yang sempurna buat mereka sejak dahulu hingga sekarang atau akan datang. Namun saya berharap sebagai insan, saya menjadi yang terbaik buat mereka dalam memudahkan sambutan syawal mereka bersama baba & ibu mereka.

Salam aidilfitri khas buat 7 permata2 hati saya, buat baba & ibu mereka... Semoga kegembiraan & kebahagiaan menjadi milik kalian.



kenangan ketika 'keluarga' itu masih ada




3 ulasan:

umiyan berkata...

sabar..sabar...sabar dan sabar..... sesungguhnya ALlah tu Maha Adil kak...jgn risau

sis berkata...

memang teramat sedih beraya tanpa anak2 selepas 21 tahun bersama. tapi bijak bagi mama untuk cuba mengetepikan kesdihan itu dan fokus pada kebahgiaan anak2 agar mereka tak rasa berbelah bagi. menangguhkan raya bersama pada hari lain adalah baik juga. apatah lagi, mama dapat kesempatan beraya bersama ibu ayah. redha dan syukur akan membawa kepada kebahgiaan hakiki. muga mama tetap gagah.

Tanpa Nama berkata...

Sedih sy bc catatan kakak... Sy faham apa yg kakak rs krn sy juga pernah melauinya... Berat mt mmndang brt lg bahu yg mmikul.. BagaimNa ada wanita yg trgamak melihat penderitaan wanita lain?? Mgkn mrk x prnh jd seorang isteri & tdk fhm pgrbNn seorNg isteri & ibu.. Allah itu adil, wanita itu pasti tdk bahagia sebenarnya.... Mn mgkn bahagia mmpu dcipta atas kemusnahan hidup org lain...