New Page 1

Selamat Datang ke Blog Mama Moden

Related Posts with Thumbnails

08 Mac 2011

Suatu Ketika Itu....Dedikasi Buat Anak2ku...


Assalamualaikum.....

Alhamdulillah semakin menghampiri hari itu hati saya semakin tenang. Semakin mendekati waktu memasuki kamar keramat itu, seperti ada kekuatan yang semakin kukuh dihati & perasaan saya. Saya tidak tahu dari mana kekuatan ini ada, yang pasti & yakin pasti tentulah datangnya dari Ya Rabbi...


Suatu ketika itu, tanggal 3 april 1990...
9 bulan 10 hari sebelum itu dirimu Mama kandungkan dalam keadaan yang tidak tahu apa2. Apalah seorang wanita ( jika layaknya digelar wanita ketika usia baru 14-15 tahun ) semuda itu usianya mampu buat menahan muntah, loya, pening, sakit badan setelah dirimu berada dalam perut Mama. 3 bulan Mama berkeadaan begitu tanpa boleh menjamah sebiji nasi pun hatta apa2 makanan pun. Semua yang mama kudap, keluar semula sebelum sempat makanan dihabiskan. Abah Tok hanya memenuhi keinginan Mama setiap hari tugasnya mencarikan Mama sejoreng nenas untuk Mama makan. Hanya buah tempatan itu sahaja yang boleh masuk keperut Mama ketika itu. ( mujurlah tajamnya nanas itu tidak memudaratkan dirimu dalam kandungan Mama )

Berjauhan dari Babamu yang melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan 3 bulan selepas kami diijab qabulkan. Hanya keluarga Mama yang merawat & menjaga Mama sebelum Mama Baba hantar menetap dikampungnya nun jauh di Negeri Jelapang Padi. Tinggallah Mama disana bersama Tok Wan & Tok. Bermacam suka duka yang Mama hadapi sepanjang tempoh itu.

Akhirnya 3 april 1990 ditakdirkan dirimu lahir kedunia. Tanda cinta Mama & Baba. Lahirmu dari perut Mama muda seusia 15 tahun, memang menjadi satu kegemparan di wad bersalin Hospital Segamat waktu itu. Seluruh wad mendengar jeritan nyaring Mama menahan sakit melahirkan mu. Seluruh warga jururawat yang bertugas turut sama mengalirkan airmata lantaran kasihan pada Mama yang tidak dapat menahan kesakitan. Syukurlah dalam segala kesakitan, kepayahan, jerit perih itu dirimu selamat Mama lahirkan dengan bantuan Doktor yang amat lemah lembut, penyayang waktu itu, terima kasih Doktor Jannah.

Sebaik saja melihat wajah comel mu yang sememangnya mirip cinta hati Mama waktu itu, sesungguhnya hilang segala kesakitan Mama yang separuh mati itu. dirimu Mama dakap & kucup sepenuh hati. Walaupun Mama akui tidak berapa pandai merawat & menjagamu sejak kecil. Babalah yang banyak mengasuh, menjaga dirimu sambil2 Mama belajar mana yang perlu. Mujurlah selepas kelahiranmu kita Baba bawa bersama ke Maktab.

Sejak itu membesarlah dirimu dengan berbagai kerenah & ragam. Sakit pening, demam perkara biasa. Yang paling biasa terjadi pada dirimu adalah kembong perut & susah membuang najis besar. Apatah lagi jika silap makan atau minum air teh, alamatnya memang meraunglah dirimu jika mahu membuang. Pernah terjadi dirimu Mama kejarkan keklinik dalam keadaan tak berduit, Mama minta hutang dahulu pada doktor minta doktor masukkan ubat bagi memudahkan dirimu membuang. Terima kasih pada doktor yang baik hati itu, zaman sekarang mungkin tiada lagi doktor sebaik itu.

Sebagai anak sulung, dirimu memang menjadi harapan Mama & Baba. Dirimu kami bentuk memang mengikut acuan kami. Kami seperti mahukan segala kesempurnaan dalam dirimu bagi pihak kami, bagi pihak Mama khususnya. Mama seolah2 mahu membuktikan usia muda bukan halangan Mama punya anak yang baik, bijak seperti dirimu. Mama & Baba minta maaf jika selama ini terlalu menekan dirimu dalam apa jua perkara. Kami cuma mahu yang terbaik buat dirimu....Tiada harta benda yang dapat kami wariskan pada dirimu hanya ilmu, ilmu yang bermanafaat..

Nurul Ain Fathihah binti Mohd Roshidan... Mama sayang kamu, sayang dunia akhirat!!!


Suatu Ketika Itu .... Tanggal 12 disember 1991...
9 bulan bulan 10 hari dirimu dalam kandungan Mama. Tatamu baru berusia 10 bulan, baru berjalan tatih ketika Mama dapat tahu dirimu sudah wujud dalam perut Mama. Mama baru berusia 16 tahun ketika melahirkanmu. Melahirkan di Hospital yang sama, doktor yang sama namun dalam suasana yang tidak lagi menggemparkan. Mama sudah dapat mengawal kesakitan Mama melalui pengalaman melahirkan Tatamu. Lahirmu juga tidak payah. Sakitnya juga tidak terlalu lama. Cuma G6PD yang dirimu alami amat mencemaskan Mama waktu itu. Maklumlah ketika itu virus itu baru dikesan. Mama, Baba & Tata telah diarah membuat pemeriksaan darah. Dalam keadaan tak tahu apa2, memang Mama amat takut ketika itu, takut terjadi apa2 pada dirimu. Mujurlah apabila doktor menjelaskan virus itu tidak mudarat cuma harus menjaga pantang larangnya.

Dirimu membesar sepenuhnya bersama Mama. Dirimu membesar sepenuhnya bersama air susu Mama. Tidur malammu dalam dakapan Mama sepenuhnya lantaran air susu yang dirimu teguk setiap saat. Sewaktu melahirkan mu, Mama sudah agak cekap memberi susu Mama untuk kamu teguk berbanding dengan Tata dahulu. Mama juga sudah cekap menjaga & merawat anak kecil. Pengalaman mengajar Mama, terima kasih pada Babamu yang banyak membantu Mama. Disebalik air susu Mama dirimu juga tidak boleh tinggal puting. Mama & Baba membelikan puting lembut untuk keselamatan mu, hingga akhirnya puting itu hilang entah kemana.

Dirimu membesar tanpa banyak kerenah. Terasa senang menjaga mu sedari kecil hinggalah dirimu seperti sekarang. Baba & adik beradik mu mengatakan dirimu anak Mama, lantaran seakan rapatnya dirimu dengan Mama. Hingga kini bila berjauhan denganmu hati Mama memang terasa rindu....

Mohd Afnan Fathurrahman bin Mohd Roshidan.... Mama sayang kamu, sayang dunia akhirat!!!



Suatu ketika itu...Tanggal 25 oktober 1993...
9 bulan 10 hari Mama melalui detik2 bahagia mengandungkan dirimu. Beban yang berat tidak Mama rasai. Dengan Tata & Angahmu yang masih kecil, Mama bersyukur Allah menganugerahkan dirimu pulak sebagai satu amanah yang harus Mama & Baba terima. Sedari dalam perut hingga saat melahirkan, dirimu memang anak yang baik, mudah & senang. Mama dikejarkan ke Hospital Segamat hanya setelah memang tiba2 Mama rasa sakit nak melahirkan. Dalam perjalanan sempat lagi kami singgah mengambil Kakak Mama untuk sama2 ke hospital. Sampai saja dihospital tanpa sempat jururawat bertanya itu & ini, menyalin pakaian Mama dirimu sudah tidak sabar2 untuk lahir ke dunia Allah ini. Mudah, amat mudah melahirkan mu.

Dirimu juga Mama besarkan dengan cara yang mudah. Tidurmu dalam bedungan sehingga berusia 8 bulan. Jika tidak dibedung dirimu susah nak melelapkan mata. Bila dibedung saja tnpa perlu diteman lagi dirimu akan terus tertidur. Kamu juga membesar dengan air susu Mama. Oleh itu sepenuh masa dirimu bersama Mama. Pengalaman bekerja diluar demi membantu Baba sememangnya meninggalkan kesan yang amat mendalam buat Mama. Pengalaman dirimu didera jiran memang tidak dapat Mama terima. anak kecil sebaik kamu dibuat begitu. Tapi tak mengapalah semoga ALlah ampunkan insan itu.

Walaupun dirimu dikatakan antara anak2 Mama yang agak sederhana dalam pelajaran atau mungkin dalam apa pun hal, namun Mama percaya setiap kalian ada kelebihan & kekurangannya. Yang lebih menampung yang kurang, yang kurang ditampung oleh yg lebih. Bagi Mama setiap kalian ada keistimewaan masing2, yang mungkin hanya Mama yang mengandung & melahirkan kalian saja yang nampak apakah istimewanya kalian dimata Mama.

Nurul Amirah Fatin binti Mohd Roshidan.... Mama sayang kamu, sayang dunia akhirat....




Suatu Ketika Itu.... Tanggal 16 januari 1996...
9 bulan 10 hari Mama bawa jasadmu dalam roh, jiwa Mama. Sedari dalam perut Mama merasakan pergerakan dirimu yang lasak hingga meyakinkan Mama, bahawa Mama akan lahirkan anak lelaki buat Babamu. Masih Mama ingat kemalangan motorsikal yang Mama bawa ketika dirimu 8 bulan dalam kandungan Mama. Bukan kemalangan biasa2, tetapi kemalangan stuntmant. Mujurlah hasil pemeriksaan doktor, dirimu berada dalam keadaan baik. Itu meyakin Mama yang dirimu adalah lelaki. Dengan keyakinan itu kami menyiapkan nama lelaki buat dirimu. Mohd Adnin Firdaus, itulah nama yang dimiliki oleh adik kesayangan kalian sekarang ini.

Setelah 10 hari lewat dari jangkaan bersalin, doktor mengarahkan Mama ke hospital. Setelah diberi 2 biji ubat memaksa dirimu keluar barulah Mama merasa sakit mahu melahirkan. Sakit yang agak luar biasa, tidak seperti kelahiran sebelum ini. Saat2 cemas juga berlaku, ketika seluruh kepalamu sudah menjengah dunia ini, doktor terpaksa menghentikan keaktifanmu untuk keluar kerana tali pusat yang tersangkut & terbelit dilehermu. Agak lama Mama rasakan perhentian itu, hingga memaksa doktor menjahit agak banyak luka Mama. Namun demi melihat dirimu lahir dengan selamat hilang segala kesakitan Mama, itulah keajaiban & nikmat yang Allah beri hanya pada wanita yang melahirkan. Sakit yang bagaikan antara hidup & mati tiba2 hilang sekelip mata apabila kalian selamat dilahirkan. Dan apabila doktor memberitahu jantina bayi Mama hanya tersenyum, kerana jangkaan Mama salah. Bukan bayi lelaki yang selama ini lasak ya amat dalam perut Mama tetapi bayi comel, hidung mancung itu adalah bayi perempuan.

Membesarmu juga seperti Kakak2 & Abangmu, tidak banyak menyusahkan Mama & Baba. KAlian memang anak2 yang baik, sedari kecil hinggalah sekarang. Lasakmu didalam perut membawa hingga ke luar perut. KAlau diperhatikan dirimu memang seperti lelaki. Tingkah lakumu, perwatakanmu, cara cakapmu, cara jalanmu... tetapi jauh disudut hatimu, Mama tahu dirimu punya hati nurani yang amat halus...

Nurul Adeebah Farzana binti Mohd Roshidan... Mama sayang kamu, sayang dunia akhirat!!!




Suatu Ketika Itu... Tanggal 29 november 1997
Dirimu Mama kandungkan 9 bulan 10 hari setelah melalui peristiwa yang amat tragis. Namun Mama percaya semuanya itu takdir Allah. Dirimu juga tidak banyak mendatangkan masalah pada Mama sejak dari dalam perut hinggalah kamu lahir kedunia ini. Kelahiranmu dengan jari ibu terlekap dimulut untuk dihisap memang mendatangkan keajaiban pada jururawat. Bayangkan dirimu bertahan sehari semalam di wad tanpa seteguk pun meneguk susu Mama. Cukup dengan menghisap ibu jari itu dengan bunyi yang agak kuat. Setelah jururawat berusaha melepaskan nyonyotan itu barulah air susu Mama dirimu teguk dengan rakus. Namun apabila lepas saja air susu Mama jari mu akan dimasukkan semula dimulut tanpa perlu diajar, uniknya dirimu. Sehingga agak besar begitulah tabiaatmu, hingga Mama jadi sedih juga jika ada yang melarang dirimu menghisap jari. Kerana Mama lebih tahu bagaimana itu semua berlaku.

Dirimu juga dikategorikan amat sederhana dalam segala hal. Menjadi anak last yang agak lama hingga 6 tahun baru beradik, memangnya menjadikan dirimu sedikit manja. Kemanjaan itu masih Mama nampak sampai sekarang. Dalam gelak tawamu, Mama nampak manjanya, dalam tangis sendu juga Mama nampak manjanya.

Nurul Atiqah Farhani binti Mohd Roshidan... Mama sayang kamu, sayang dunia akhirat!!!




Suatu Ketika Itu... Tanggal 21 november 2003
9 bulan 10 hari Mama bersamamu dalam seluruh gerak nadi Mama. Setelah 6 tahun rumah sunyi tanpa kehadiran anak kecil, akhirnya Allah kurniakan dirimu buat Mama & Baba walaupun dalam keadaan yang serba tidak kena namun Mama terima kehadiranmu dengan berlapang dada. Mama memang rindukan anak kecil ketika itu. Namun keadaan sewaktu mengandungkan Tatamu berulang ketika mengandungkan mu. Mama mengalami alahan yang amat teruk. Hampir 3 bulan Mama tidak mampu berbuat apa2 waima menumis atau membau masakan pun. Muntah & loya menjadi ulaman Mama hari2 selama 3 bulan. Mungkin sebab sudah agak lama tidak mengandung.

Dalam segala kepayahan, dugaan & cabaran akhirnya dirimu Mama lahirkan juga dengan proses yang mudah. Membesarkan dirimu juga mudah. Mama sempat lagi sambil2 menjaga & mengasuh 10-12 anak2 jiran seusia dirimu sebagai menambah pendapatan. Agak mewah kita sekeluarga ketika itu. Alhamdulillah

Dirimu membesar dengan penuh keletah. Lantaran Kakak2 & Abangmu sudah agak besar, kerja Mama menjaga dirimu emnjadi semakin mudah. Mereka senang hati, ringan tangan membantu menjaga dirimu. Dirimu memang menjadi adik kesayangan mereka. Semakin besar semakin keletah tingkah & semakin petah bercakap yang membuat semua orang senang. Sikap pandai mengambil hati, memang dirimulah pakarnya sejak dulu sampai sekarang...

Nurul Adilah Farihah binti Mohd Roshidan... Mama sayang kamu, sayang dunia akhirat!!!




Suatu Ketika Itu... Tanggal 28 september 2006
9 bulan 10 hari dirimu dalam kandungan Mama. Namun kewujudanmu hanya Mama ketahui setelah 5 bulan nadimu berdenyut dalam rahim Mama. Malah Mama pernah mahu menidakkan kehadiranmu kerana dugaan yang melanda Mama waktu itu, namun syukurlah melihat dirimu bergerak2 dalam perut Mama melalui skrin ultrasound tu membuatkan airmata Mama mengalir laju. Dirimu Mama belai juga dalam kandungan Mama dengan perbagai dugaan, airmata, hati yang sentiasa terluka. Mujurlah adanya dirimu dalam perut Mama memberi segala kekuatan yang ada. Lahirmu juga ditakdirkan Allah amat mudah. Walaupun lewat dari jangkaan, seolah2 dirimu tidak mahu keluar melihat dunia ini, seolah2 dirimu selesa berada dalam perut MAma hinggakan dua kali diberi ubat paksa pun Mama masih belum ada tanda2 mahu melahirkan. Hingga doktor hampir2 mahu membelah perut Mama untuk mengeluarkan dirimu.

Namun doktor malah Mama sendiri amat terkejut, ketika itu saluran peranakan Mama sudah terbuka 7cm, tetapi Mama tidak langsung merasa sakit untuk melahirkan. Akhirnya doktor membantu dirimu lahir dengan air ketuban dipecahkan. Hanya 2 kali sahaja Mama merasa sakit untuk melahirkanmu, memang mudah. Kehadiran Baba mu disisi Mama juga amat Mama hargai, kerana kehadiran Baba jugalah mungkin segala kesakitan Mama hilang.

Menjadi anak bongsu, sememangnyalah membawa tuah dalam dirimu. Menjadi adik kesayangan Tata, Angah, Kak Uda, Kak Teh, Kak Cik & Kakak menjadikan dirimu adik yang manja atau sedikit cengeng. Namun dirimu tetap senang dididik, senyum manismu, gelak tawamu, gelagatmu menceriakan seisi rumah... Tanpa suara manjamu, tanpa gelak tawamu rumah pastinya berada dalam keadaan sunyi & sepi...

Mohamad Adnin Firdaus bin Mohd Roshidan... Mama sayang kamu, sayang dunia akhirat!!!




Anak2 Mama...
Nurul Ain Fathihah
Mohd Afnan Fathurrahman
Nurul Amirah Fatin
Nurul Adeebah Farzana
Nurul Atiqah Farhani
Nurul Adilah Farihah
Mohammad Adnin Firdaus.....

Mama tahu kalian anak2 permata hati Mama & Baba yang paling baik, yang amat sempurna yang kami ada. Kalianlah petanda cinta kami selama 21 tahun ini. Kalian lahir dari kasih sayang & cinta kami berdua semenjak 3 jun 1989, lebih 21 tahun yang lalu.

Kami besarkan kalian, asuh kalian, didik kalian dengan sedaya upaya kami. Memang tiada kemewahan yang dapat kami berikan sepanjang usia setiap dari kalian. Kami hanya mampu berikan setakat yang kami mampu.

Cuma kemewahan yang kami rasakan kami mampu beri adalah hanya kasih sayang, cinta kami pada kalian yang tidak berbelah bahagi. Semuanya kami beri hanya untuk kalian, permata hati tanda cinta kami . Sesungguhnya apa saja kemelut yang berlaku antara kami yang kalian nampak, sedar atau tidak sejak dahulu semenjak kalian mulai memahaminya itu adalah masalah kami. Dalam suka adanya duka. Dalam tawa pasti adanya tangis, tapi percayalah kasih sayang yang kami beri pada kalian bukan satu lakonan, bukan kepuraan tetapi itu hakikat kasih sayang kami pada kalian.

Anak2 Mama....
Ini bukan masanya lagi Mama bercakap soal pengorbanan, hak ataupun tanggungajwab antara kami. Setiap kami, antara Mama & Baba ada peranan masing2. Setiap kami ada pengorbanan yang kami sumbangkan dalam membentuk & melayari keluarga kita. Setiap kami ada kelebihan & kekuranganan yang kami tampung serba sedikit. Setiap kami ada kesalahan & kesilapan yang kami akan saling maaf memaafkan sejak dahulu. Tetapi ketahuilah anak2 Mama, memaafkan memang mudah, tetapi untuk melupakan itu amatlah payah. Mama tahu hakikat memaafkan tetapi tidak melupakan ini bukan sahaja dipihak Mama tetapi juga dipihak Baba...

Anak2 Mama, kalian semua sudah memahami apa yang terjadi dalam keluarga kita sejak kebelakangan ini. Jangan salahkan sesiapa, semua ini takdir. Jika ada sesuatu pun itu hanya penyebabnya sahaja yang Allah rancangkan. Kita merancang, Allah jua merancang sesungguhnya perancangan Allah jua yang terbaik...

Anak2 Mama, Mama tahu, kalian semua mengharapkan tiada tarikh 17 mac 2011. Kalian mengharapkan kami batalkan prosedur itu, sememangnya prosedur itu Mama yang mulakan atas persetujuan Baba, kata sepakat kami bersama demi kebaikan semua pihak. Mungkin kalian merasakan ini hanya untuk kebaikan kami bertiga, jiwa & hati kami bertiga tanpa mempedulikan jiwa & hati kalian, jiwa 7 permata hati cinta hati kami. Percayalah sayang, kami telah memikirkan itu semua. Kita patut ambil iktibar atas apa yang terjadi sebelum ini.

Anak2ku... Bukankah keadaan sentiasa panas sebelum ini. Ribut mendung sentiasa menguliti keluarga kita. Mama dah tak tahu nak bertahan bagaimana, Baba pun mungkin begitu, malah mungkin juga dipihak ibu kalian. Suasana yang tidak tenang amat meletih & memenatkan Mama. Tetapi anak2ku, setelah Mama sendirian dalam tempoh yang agak lama di TSI ini, Mama merasakan sesungguhnya Mama telah hilang sepenuhnya kasih suami & anak2. Mama belajar hidup berdikari, Mama sibukkan diri dengan kerja, tambahan lagi setelah Baba setuju dengan permintaan Mama minta dilepaskan dengan cara baik, hati Mama tenang. Mama yakin inilah keputusan & jalan keluar yang ada. Sudah tiada lagi rasa kasih sayang & cinta Mama pada Baba seperti 21 tahun ini. Sudah tiada rasa rindu walau 2 bulan tidak bertemu. Bukan Mama sengaja membuangnya, tidak sama sekali tetapi ianya hilang sendiri tanpa Mama pinta.

Anak2ku permata hati, sekarang Mama sedar, Mama masih punya kalian. Kalian masih menyayangi Mama seperti dahulu. Kalian masih memerlukan Mama seperti dulu. Mama tahu kalian masih bersama Mama. Itulah yang membuatkan Mama kembali punya semangat yang lebih untuk meneruskan hidup baru Mama. Percayalah anak2ku, tiada apa lagi untuk mempertahankan rumahtangga Mama & Baba ini. Baba sendiri tahu hakikat itu. Kami memang tidak boleh lagi meneruskan perkongsian ini. Percayalah ini bukan sahaja dipihak Mama tetapi juga dipihak Baba & Ibu kalian. Semakin kami meneruskan perkongsian ini semakin banyak hati terluka nanti. Baba kalian insan yang pernah Mama sayang & cintai sesungguh hati, kalian lebih tau kebaikan Baba kalian.. insan sebaik Baba berhak untuk hidup lebih bahagia bersama insan yang benar2 menyayangi & menyintainya sesungguhnya hati, yang sanggup berkorban apa sahaja demi suaminya berbanding Mama yang sudah hilang rasa itu.

Anakk2 7 permata hati Mama..
Tolonglah fahami Mama, walaupun mungkin kita takkan dapat bersama selalu seperti suatu ketika dahulu, makan2 disubaidah & mutiara ombak, membeli belah sebulan sekali di Tesco, sekala sekala bercuti di Cameron, mandi manda di pusat perkelahan, masak2 & makan2 dirumah atau berBBQ di tepi pantai, meraikan harijadi bersama2, bergebang hingga lewat tengahmalam ketika waktu percutian U & sekolah & sebagainya aktiviti yang selalu kita lakukan bersama... ataupun jika kita melakukannya bersama pun mungkin tanpa Baba atau tanpa Mama tetapi percayalah, kalian takkan kurang kasih sayang kami. Walaupun Baba sepenuhnya bertanggungjawab menjaga kalian, Mama akan pastikan waktu terluang & kesempatan yang ada kalian akan bersama Mama pula. Itu janji Baba pada Mama yang Mama harap Baba tunaikan selepas 17 mac ini. Kalian takkan kurang kasih sayang kami, malah kalian dapat juga menumpang kasih sayang Baba kalian bersama Ibu kalian. Dia pasti akan sayang kalian seperti dia sayang & cintakan Baba kalian sesungguh hatinya....

Kalaupun Mama penuhi kehendak kalian agar tiada peristiwa pada 17 mac ini, percayalah anak2ku, keadaannya takkan sama lagi. Malah Mama percaya ianya akan jadi lebih buruk dari sekarang. Berbanding jika berlaku sesuatu dalam kamar keramat itu nanti kehidupan yang aman damai, penuh ketenangan akan kita hadapi. Baba telah berjanji & bersumpah dengan nama Allah akan sayangi kalian dengan sepenuh hati seperti dahulu. Baba berjanji walau apa terjadi Baba akan utama & pilih anak2 daripada isteri. Kalian jangan risau, jangan pertikaikan kasih sayang & perhatian Baba kalian pada kalian bertujuh. Mama akan pastikan itu. Jika terjadi juga yang tidak kita mahukan, jangan risau anak2ku... Mama sentiasa ada untuk kalian....

Anak2 Mama...
Nurul Ain Fathihah
Mohd Afnan Fathurrahman
Nurul Amirah Fatin
Nurul Adeebah Farzana
Nurul Atiqah Farhani
Nurul Adilah Farihah
Mohammad Adnin Firdaus.....

Mama sayang kalian sesungguh hati. Kalian tidak berhak mempersoal atau mempertikaikan kasih sayang Mama pada kalian hanya kerana terputusnya ikatan Mama & Baba. Kalian Mama kandung & lahirkan dengan kudrat, keringat, airmata, darah & nyawa Mama. Mana mungkin kasih sayang Mama pada kalian hilang hanya kerana Mama bukan lagi isteri Baba kalian.

Mama minta maaf daripada kalian dari hujung rambut hingga hujung kaki, Mama takkan tarik balik keputusan nekad Mama ini hanya kerana anak2. Mama pernah lakukan sekali dulu, hanya kerana anak2 tapi lihatlah apa jadi akhirnya. Mama hampir2 hilang kasih sayang kalian hanya kerana salah sangka sesama kita. Sekarang ni dengan adanya kasih sayang kalian buat Mama tiada apa lagi yang Mama harapkan. Kasih sayang kalian sudah cukup buat Mama meneruskan saki baki hari tua Mama...

Bantulah Mama, Bantulah Baba...
Kami sudah cuba jadi yang terbaik buat kalian...
Bagilah kami peluang untuk diri kami pula...

Salam sayang buat permata2 hati Mama
Semoga Allah bersama kalian
Mama serahkan kalian sepenuhnya dibawah lindungan Allah...


Mama
11.26 malam
Sungai Petani....


11 ulasan:

jAuh hAti berkata...

banyaknya pahala melahirkan

sebak baca..

:(

MaMa MoDeN berkata...

salam amal,
sekadar memohon pengertian dari permata2 hati mama...
mama tak minta balasan apapun sekadar mohon sedikit pengertian...

umi kalsom berkata...

Salam ziarah buat pertama kali, dari sahabat sekolah Ain...

mama... saya pun boleh pngil mcm ni ke, harap mama tak kisah...:)

membaca luahan mama, membuatkan saya sedar, hidup ini pasti saja ada dugaan... yang bersatu boleh saja berpisah...
tapi semuanya pasti akan ada hikmah...
mama yang melaluinya, maka mama lebih merasai dan mengetahui...

saya sbg pembaca,sntiasa mendoakan yg terbaik. InsyaAllah, anak2 mama akan memahami :)

MaMa MoDeN berkata...

salam umi,
mama hargai sudi panggil mama dengan panggilan mulia itu walau umi tak lahir dari perut mama.. silakan, mama terima dengan hati terbuka, ramai kawan2 anak2 mama panggil mama begitu, lebih mesra kan...

yer bukankah hidup kita ni atas takdir Allah.. nasib kita sudah tertulis sejak azali lagi... memang berat mata memandang berat lagi bahu memikul...

doakan kami semua ok...

sunflower n cinderella moden berkata...

sebak bace cite ne...

MaMa MoDeN berkata...

salam SF&CM..
:) mohon doa buat anak MM...

Junaini Kassim berkata...

semoga mrk memahami....

Tanpa Nama berkata...

Salam...sebak baca crita Puan...mudah2an Allah permudah kan segalanya..InsyaAllah...
Anak saya satu sekolah/class dgn Atiqah & mereka quite rapat....Atiqah pernah bermlm dirumah saya & serba sedikit dia ada crita masalah family dia....
Semoga tabah ya..

MaMa MoDeN berkata...

Salam Puan tanpa nama..
terima kasih krn sudi menerima atiqah dlm kluarga puan.. kami dulupun selalu menerima kunjungan kawan2 anak2 dirumah, bgmbira & bhibur bersama mereka....

kini mungkin suasananya tak sama lagi, kalau dikunjungi rakan2 anak2 pun mungkin bersama ibu mereka pula..

harap doa Puan buat anak2 saya khususnya atiqah...

terima kasih..

MaMa MoDeN berkata...

yer dik, smoga mereka memahami...

Tanpa Nama berkata...

assalaamuálaikum Jun.bercucuran airmata membaca n3 Jun. Semoga Allah memberkati dan merahmati Jun dan permata2 hati Jun dunia akhirat.