Assalamualaikum.....
Kita berada di ambang tahun baru 2010. Tahun 2009 telah ditinggalkan dengan seribu kenangan, yang termaktub sudah dalam lipatan sejarah.
Saban tahun sambutan tahun baru menjadi satu agenda besar samada di peringkat negara ataupun masyarakat. Soalnya, apakah hukum menyambut tahun baru masihi?
HUKUM SAMBUTAN TAHUN BARU MASIHI
Ustaz Zaharuddin menyatakan hukumnya adalah HARUS secara bersyarat, iaitu;
a) Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan.
b) Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang dikebiasaan membawa kepada maksiat
c) Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam.
d) Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara’ – anjurkan majlis ilmu.
Namun hakikat hari ini sambutan tahun baru tidak lengkap kalau tiada konsert-konsert hiburan, samada di kaca TV ataupun di tempat sambutan tahun baru. Justeru itu ia lebih membawa keburukan apabila berlakunya pergaulan bebas, ada yang mabuk dan bertindak liar merosakkan harta benda awam serta mengancam petugas-petugas keselamatan yang berkawal.
Sehubungan itu, lebih baik kita mengelakkan diri daripada terlibat dalam sambutan tahun baru yang diketahui bercampur aduk dengan program-program maksiat.
SAMBUTAN YANG POSITIF
Sebagaimana syarikat-syarikat dimestikan membuat penyata kewangan untuk setiap tahun kewangan masing-masing, penutup 2009 menjadi satu titik terbaik untuk kita muhasabah dan menganalisa pencapaian sebenar untuk sepanjang 2009.
Post-mortem diperlukan untuk mengetahui di mana kita berada dan ke mana tujuan kita seterusnya.
Saudara Amin Idris, dalam laman webnya Magnet Diri menyatakan beberapa langkah untuk membuat post-mortem seperti berikut;
a) Merujuk kembali kepada matlamat atau azam 2009
b) Merujuk perancangan untuk mencapai matlamat tersebut
c) Perancangan dilaksana
d) Perancangan tertangguh
e) Sebab tertangguh dan idea mengatasinya
Nah, setelah selesai membuat analisis, kita sudah bersedia untuk membuat matlamat 2010, beserta perancangannya.
Kesimpulannya, marilah kita muhasabah diri dan merencanakan matlamat yang ingin dicapai sepanjang 2010 nanti. Itu yang lebih penting berbanding berpusu-pusu menanti detik 2010 yang bercampur gaul dengan sambutan ala orang-orang barat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan