31 Mac 2012

Setahun Sudah Berlalu.....


Assalamualaikum....

Alhamdulillah hari ini saya menyambut ulangtahun pertama saya bergelar MaMa Tunggal, atau saya lebih suka menggelar sendiri diri saya Miss J Meletop! :).....

Setahun yang lalu 31 mac 2011 pada tarikh & waktu ini saya & 'dia'berada di Mahkamah Syariah Pulau Pinang bagi menguruskan perceraian atas persetujuan bersama atas alasan tiada lagi persefahaman setelah 21 tahun 9 bulan berkongsi susah senang suka duka bersama.

Kata putus yang diambil bukan mudah pada mulanya tetapi syukurlah 'dia' menerima dengan baik permintaan saya. Saya sudah tidak boleh menjadi isteri yang ikhlas buatnya seperti 21 tahun yang lalu. Biarlah kami bawa haluan masing2. Terima kasih saya buatnya kerana memudahkan urusan kami. Dalam pada ribuan wanita lain yang asyik ulang alik ke Mahkamah kerana kes tuntutan cerai tetapi kes kami hanya mengambil masa sebulan sahaja untuk diselesaikan, malah lafas keramat itu hanya mengambil masa 30 minit sahaja dikamar hakim untuk dilafaskan!

Kini, hari ini 31 mac 2012 diam tak diam sudah setahun saya memegang status ini. Status yang sudah semestinya tidak kita mahukan sebaik kita dinikahi. Tetapi jika sudah takdir tersurat sebagai manusia biasa yang punya jutaan kelemahan takdir yang tersurat harus diterima dengan tabah. Harus pula percaya setiap yang berlaku ada jutaan hikmah yang tersembunyi....

Sepanjang setahun melalui hidup sebagai MaMa Tunggal, tanpa suami... tanpa anak2 disisi... saya akui bukanlah perkara yang mudah! Melalui frasa pertama selepas perceraian amatlah memeritkan utamanya soal ekonomi. Perasaan rindu pada anak2 yang tidak pernah berenggang dari saya selama puluhan tahun. Perasaan tidak punya suami mungkin dapat saya atasi dengan baik kerana untungnya kami sudah pun melalui proses berpisah sementara sebelum perpisahan sebenar terjadi. Syukurlah, rasa perit, sedih, kecewa, kehilangan sudah saya rasai sebelum tarikh perpisahan sebenar itu.

Dugaan & cabaran sebagai Miss J Meletop! memang banyak. Amat banyak. Seolah2 tertulis diwajah kita ni 'SAYA JANDA'. Kadang2 saya tak bercakap apapun. Tetapi akhirnya orang akan tahu saya Miss J. Godaan hidup sebagai Miss J memang amat hebat. Godaan itu bukan sahaja datang dari luar tetapi godaan yang amat hebat datangnya dari dalam diri kita sendiri. Jenuh nak terus pasakkan dalam diri bahawa status yang ditakdirkan ini harus di jaga sepenuh hati. Maklumlah saya juga manusia biasakan, yang punya banyak kelemahan & kekurangan.

Bila difikirkan semula memang saya sendiri seakan tidak percaya, saya mampu harungi status ini selama setahun sudah. Pernah semasa ada suami dulu saya selalu malah sering katakan padanya 'ayang takkan mampu hidup sendiri tanpa abang'... Sungguh! saya selalu memikirkan bahawa tanpa 'dia' saya tak mampu hidup sendiri. Memanglah sekarang pun hidup saya tak sesenang mana. Banyak perkara yang saya tak dapat buat & lakukan sendiri. Tetapi sekurang2nya bayangan yang saya akan gila, nanar atau sasau tanpa 'dia' disisi tidak berlaku pada saya setelah setahun perceraian kami. Alhamdulillah...

Saat saya nekad minta berpisah setahun dulu kerana cinta yang sepenuhnya saya peruntukkan hanya untuk 'dia' sudah hilang dalam hati saya atas berbagai sebab yang tidak dapat saya bertahan lagi hanyalah satu. Saya amat takut saya hilang kasih sayang anak2 kerana anak2 dibawah jagaan bekas suami.

Walaupun saya seakan tegar hati melepaskan kesemua anak2 dibawah jagaan bekas suami tetapi jauh disudut hati saya amat bimbang kerana berjauhan dari anak2 akan semakin menjarakkan kasih sayang kemesraan kami. Saya tahu, saya takkan mampu memberi keperluan hidup, taraf pendidikan yang baik pada anak2 jika mereka sepenuh masa bersama saya tanpa Baba mereka. Dengan kerja yang tidak menentu, kewangan yang amat kritikal setiap masa disertai dengan pendidikan yang tidak sampai kemana saya bimbang anak2 saya tidak akan berjaya seperti abang & kakaknya. Biarlah saya berjauhan dengan mereka asalkan anak2 saya berjaya hidupnya. Apapun yang berlaku antara kami saya yakin pasti 'dia' Baba yang terbaik yang anak2 saya ada. 'dia' takkan mengabaikan apa yang telah diberi pada anak2 seperti sebelum ini. Saya yakin itu....

Tetapi hari demi hari saya rasakan hubungan saya & anak2 tidak sunyi & sepi. hikmah yang semakin saya nampak hubungan saya & anak2 semakin akrab walau kami berjauhan. Benarlah yang penting kualiti masa bukan kuantiti masa. Peluang berjumpa & bersama anak2 kami gunakan sebaik2nya untuk saling melepas rindu. Saya takjub dengan kurniaan Ilahi, walau kami sering berjauhan hakikatnya hati kami dekat antara satu sama lain.

Walaupun saya tak sepenuhnya bahagia dengan keadaan berjauhan dengan anak2 utamanya dua yang kecil Kakak & Adik tetapi saya harus akui inilah keadaan terbaik yang kami ada setakat ini. Teruskan apa yang telah kami pilih & laluinya dengan apa adanya. Menoleh & berpaling kebelakang hanya untuk dijadikan panduan hidup masa depan, tapi jika tolehan itu untuk membuatkan saya kembali pada apa yang telah saya lepaskan, I'Allah tidak sama sekali....

Ramai yang bertanya soalan cepumas, bila saya nak menamatkan zaman janda. Ramai juga yang membantu saya mencari calon. Ramai yang simpati saya hidup sendiri tanpa lelaki bernama suami. Hidup sendiri juga memberi saya banyak kelebihan dalam memilih. Ataupun bagi saya, tidak perlu membuat pilihan sebenarnya, saya percaya ajal maut jodoh pertemuan Allah yang tentukan. Kita merancang Allah jua merancang, namun perancangan Allah pasti yang paling baik.

Jika Allah tentukan saya layak menyandang status MaMa Tunggal dengan baik & jayanya daripada bergelar seorang isteri yang tidak sempurna buat seorang lelaki bernama suami maka saya terima amanah ini dengan lapang hati. Jika suatu hari Allah bukakan hati seorang lelaki untuk menerima saya sebagai isterinya dengan menerima saya apa adanya, I'Allah akan berakhirlah zaman janda saya.

Saya tahu, jika dulu saya bukan yang terbaik, sekarang & akan datang juga saya bukan terbaik buat sesiapa. Saya tidak mahu suatu hari nanti akan keluar lagi luahan tidak bahagia, menderita hidup bersama saya. Jika ditakdirkan saya bertemu jodoh biarlah saya diterima seadanya diri saya luar & dalam. Saya tidak mahu lagi orang lain membentuk diri saya menjadi itu ini, begitu begini. Saya adalah saya!

Walau apapun yang telah saya jalani, yang sedang saya lalui & akan saya hadapi dihadapan sana, saya akan redahi juga. Kalau untung sabut timbullah, kalau untung batu tenggelamlah. Kalau untungnya sabut timbullah saya disebalik teratai2 indah, kalau untung batu tenggelamlah saya disebalik batu2 karang yang cantik dilautan....

Sempena meraikan genap setahun kejayaan saya melalui status Miss J ni, saya telah mohon cuti dari majikan. Sementelah lagi 4 anak2 saya ada bersama saya hari ini...

YaAllah jika selama setahun ini Kau telah berikan hambaMu yang amat lemah ini segala kekuatan zahir & batin, aku mohon padamu janganlah ditarik semula segala kekuatan yang ada. Tanpa kekuatan dari Mu pincanglah jalanku, ranaplah impianku, rebahlah sandaranku... Amin





2 ulasan:

  1. Assalammualaikum Mama Moden,
    semoga tabah...

    BalasPadam
  2. Nampak Muda.. X sangka dah 21 tahun berumahtangga..

    BalasPadam

Salam...
Kepada Pelawat2 Yang Sudi Lawati Blog Kerdil ini Terima Kasih diucapkan.

Silalah Tinggalkan Komentar Anda.

Yang Baik Akan Dijadikan Tauladan, Yang Buruk Jadikan Sempadan