05 September 2011

Ramadhan & Syawal Selepas 22 tahun...Sekadar Catatan!!!


Assalamualaikum....

1 ramadhan hingga 29 ramadhan / 1 ogos hingga 29 ogos

Ramadhan saya lalui dengan serba kesederhanaan sama seperti tahun2 sebelum ini. Selalunya kami bersahur & berbuka dengan apa adanya. Memasak untuk bersahur & berbuka sudah menjadi rutin harian sepanjang ramadhan, cuma sekali sekala mengubah selera di bazar ramadhan atau berbuka diluar sekeluarga.

Cuma tahun ini buat kali pertama saya menjalani ibadah puasa sendirian. Tahun lepas ada juga dua sikecil itu menemani saya. Hari pertama berpuasa sememangnya semangat saya hilang, namun airmata yang saya tahan gugur juga ketika saya sujud ketika solat subuh. Saya berharap biarlah airmata yang gugur itu airmata ketabahan buat peneman saya menjalani ibadah puasa selama sebulan.

Sepanjang ramadhan sempat saya bersahur & berbuka selama 3 hari bersama anak2 Kak Teh, Kakak & Adik Adnin ketika mereka saya bawa balik ke TSI. Sekali saya meluangkan masa ke Penang untuk berbuka puasa bersama Kak Uda, Kak Teh, Kakak & Adik Adnin. Sempat juga Tata belanja saya berbuka puasa diluar sekali. Bersama Angah sempat juga saya berpuasa bersama ketika dia pulang untuk berhari raya. Dengan Kak Cik sememangnyalah sepanjang ramadhan ni dia jadi peneman setia saya setiap hujung minggu apabila dia pulang bercuti dari asrama.

Walaupun banyak waktu yang saya sendirian, namun saya bersyukur masih ada kesempatan bersama anak2. Saya perlu berlapang dada dengan keadaan ini. Ini takdir yang telah ditentu & dijalurkan, ini juga hakikat yang perlu saya terima atas kata putus yang saya ambil. Saya tak boleh banyak mengeluh dengan keadaan ini.

26 ramadhan / 26 ogos

Kata putus diambil, anak2 beraya bersama baba mereka terlebih dahulu. Walaupun saya menyangkakan anak2 akan diberi peluang beraya bersama saya kerana telah sepenuh masa mereka bersama Baba mereka, lagi pula saya menyangka mereka akan balik beraya ke kampung menziarahi saudara mara baru mereka. Namun kata2nya tidak balik kampung, hanya mahu beraya bersama anak2 membuatkan saya mengalah melepaskan anak2 beraya bersama Baba mereka dahulu. Saya akan beraya sendirian di TSI ini menanti anak2 yang dijanjikan akan dihantar pada 2hb nanti.

Sejak keputusan itu diambil, keluarga saya di Johor menggesa saya balik beraya bersama mereka. Bila difikirkan betul juga, walau tanpa suami & anak2, saya masih ada mak abah & adik beradik.

2 hari tiada kata putus yang diambil, sehinggalah pagi ahad baru saya melangkah kaki mencari tiket balik beraya di Johor dengan apa adanya. Tiket terus memang dah tiada, mujurlah adik saya Johan di KL masih belum balik kampung. Dia akan tunggu saya di KL & kami akan balik bersama.

28 ramadhan / 28 ogos

Jam 3 petang saya memulakan perjalanan dengan bas ke KL. Berbuka dalam bas dengan sebotol air mineral & sekeping sandwich benar2 menyayukan hati saya. Jam 9 malam saya tiba di KL. Adik Johan ambil saya di Hentian Duta, kami meneruskan perjalanan ke Jementah, Segamat Johor. Sempat lagi kami singgah di Nilai, niat hati nak beli kuih raya buat ole2 di kampung, tapi tiada apa yang boleh dibeli disini. Semua peniaga sudah membungkus barang2 jualan.

29 ramadhan / 29 ogos

Kami sampai di kampung lebih kurang jam 1.30 pagi. Lepak2, sembang2 lebih kurang sementara menanti waktu sahur. Alhamdulillah dapat juga sahur hari terakhir ramadhan bersama keluarga.

Adik Johan bersama Mak & Abah kepasar membeli barang nak masak raya. Saya & Adik Alia, anak Atam ditugaskan ke kampung Bukit Keledang mengambil daging yang telah dipesan pada keluarga Pok Teh yang menyembelih lembu untuk dijual raya. Wah! Kebas juga punggung saya membonceng Adik Lia dengan motor masuk ke kampung pendalaman tu.

Hanya itu sajalah tugas saya dalam penyediaan masak hidangan raya. Selebihnya saya tak ada mood langsung nak membantu mak memasak. Adik ipar saya Suryani yang membantu mak mertua dia masak. Wah! Banyak betul masa senggang saya pada aidilfitri tahun ni. Saya sempat lagi merayau kesana kesini pada petang menjelang raya. Sempat lagi ke salon dengan Suryani, gebang2 dirumah atam & ateh. Dan aktiviti yang paling best dibuat adalah tidor... Ish!!! Melampau betul.

Petangnya saya, Atam, Pok Teh & anak2nya Abang Alan & Adik Alia sempat lagi ke Segamat mencari kuih raya. Ronda2 sekitar bazar yang besar tu. Memilih kuih2 yang sedap & murah. Akhirnya dapatlah juga kami apa yang dimahukan. Berkongsi2 membelinya dengan Atam & Pok Teh.





Selama 21 tahun ni saya tak pernah punya waktu senggang menjelang syawal. Seminggu sebelum raya saya dah mula sibuk mengemas rumah & membuat kuih raya. Kesibukan semakin terasa sehari menjelang syawal. Kadang2 saya & anak2 tak tidor pada malam raya, sambil2 memasak kami bersembang hingga kepagi. Lebih2 lagi setelah anak2 saya merantau menuntut ilmu. Peluang bercuti selalunya kami gunakan untuk borak2 bermacam hal.

1 syawal / 30 ogos

Sayup2 kedengaran azan subuh berkumandang disurau berhampiran. Pada mulanya saya macam tak bersemangat nak bangun, menghadapi pagi syawal. Tapi selepas solat subuh saya kuatkan semangat. Bersiap lebih kurang, tiada baju raya baru yang saya sarungkan kebadan pada tahun ini. Saya bersiap dengan apa adanya. Semalam telah berbincang dengan abah & adik beradik, tahun ni nak solat s unat aidilfitri di surau berdekatan Taman Pelangi ni saja. Saya, Atam & anak2nya Abang Alan & Adik Alia sepakat nak berjalan kaki ke surau. Abah Adik Johan bawa naik keretanya. Ternyata di Surau ni lebih ramai kaum muslimat jika nak dibandingkan dengan di Masjid. Tahun lepas saya bersolat di Masjid, kaum muslimat tidak ramai seperti di Surau ini.

Sepanjang mendengar takbir, mendengar khutbah raya, hati saya semakin terasa sayu. Hati meruntun2 jauh melayang mengingatkan permata2 hati saya nun jauh di Pulau Mutiara. Bagaimanalah agaknya mereka menyambut kali pertama aidilfitri ini tanpa saya. ( walaupun akhirnya saya terkejut dengan pengisahan pagi syawal mereka ).

Balik saja dari solat sunat aidilfitri, kami bersarapan. Pagi tadi sekadar menjamah sahaja kerana solat diadakan seawal jam 8 pagi. Sementara menunggu Ateh sampai untuk sama2 bersalaman raya, kami sarapan dengan apa yang ada.

Seperti biasa, sejak saya masih kecil dahulu, pagi raya saya ber sama keluarga di Johor, kami akan bersalam2an bersama seluruh ahli keluarga. Inilah amalan yang saya amalkan selama 21 tahun membina keluarga bersama suami & anak2. Tidak pernah ada satu tahun pun aktiviti ini yang tidak berlaku di pagi syawal walau dimana kami beraya. Memang amat terkejut pada tahun ini suasana itu tidak berlaku lagi dalam keluarga itu. Tak mengapalah, mungkin lain keluarga lain pula caranya menyambut pagi syawal.

Bermula dengan mak memohon ampun & maaf pada abah, acik pula memulai kami adik beradik mengucup tangan mak abah memohon maaf. Diikuti Ateh, Atam, saya & Adik Johan serta anak2 saudara yang lain. Terasa juga ketiadaan Adik Nanie yang tahun ini beraya bersama suami & madunya di Batu Pahat. Saya doakan dia bergembira pada syawal tahun ini. Alhamdulillah dapat juga saya mengucup tangan mak abah memohon ampun dipagi syawal disaat tangan saya tidak dapat dikucup mereka di pagi mulia ini. Tangisan yang saya tahan sejak solat subuh, sejak mendengar takbir & khutbah raya pagi tadi akhirnya terhambur juga ketika aktiviti bersalaman ini berlangsung.





Menjelang tengahari, saya bercadang mengikut Adik Johan sekeluarga bersama Mak Abah ke kampung Muar & Tangkak menziarahi saudara mara. Walau pada awalnya sudah terasa berat hati nak melangkah pergi, tapi saya tolak ketepi semua tu. Hinggalah semasa abah menutup pintu pagar saya segera berlari masuk kedalam mengambil beg laptop saya & terus bagitau abah tak mau ikut mereka beraya. Saya kata nak berehat aje dirumah Atam. Abah terkejut juga tapi mereka hormati permintaan saya.

Bukan saya tak bersedia dengan soalan2 yang pastinya saudara mara bertanya " mana suami & anak2?".. Saya sudah cukup bersedia dengan jawapan bagi soalan2 cepumas itu. Tetapi saya tak mau soalan2 & jawapan2 yang dikeluarkan nanti akan lebih mengingatkan saya pada permata2 hati saya.

Akhirnya selepas bertandang ke rumah Kak Long beramai2, kembali ke rumah Atam sepanjang petang saya habiskan masa dengan tidor.

Malamnya saya dapat berita dari anak2 yang Baba mereka yang sejak awal memaklumkan pada saya tidak akan balik beraya ke kampung isterinya di Perlis, tiba2 nak balik kekampung pada raya kedua. Sudah tentulah anak2 saya tak mau ikut, mereka mahu bersama saya di TSI. Tetapi saya masih di kampung, mana mungkin saya boleh segera kembali ke TSI dengan segera. Kalaulah dia memaklumkan akan balik beraya di kampung isterinya seawal itu, sudah tentulah saya tidak akan beraya di kampung sejauh ini. Saya akan menanti anak2 saya di TSI.

2 syawal / 31 ogos

Jam 10 pagi saya ditemani Atam, Acik & Pok Teh segera ke Segamat untuk mencari tiket seawal yang mungkin balik ke Sungai Petani. Sudah tentulah malam baru ada. Cadangnya mahu ambik tiket siang ke KL, kemudian dari KL ke SP tetapi adik beradik kata baik ambik tiket terus, susah nanti bertukar2 bas. Hati saya mahu segera pulang menanti kehadiran anak2. Pada mulanya ada sedikit rasa geram, ralat dengan keadaan ini. Saya seboleh mungkin mahu memudahkan keadaan, tetapi mengapa masih juga mahu mengkelam kabutkan keadaan yang memang boleh dipermudahkan sedari awal lagi.

Jam 8.30 malam saya bertolak balik dari Segamat ke Sungai Petani. Terima kasih pada Adik Johan sekeluarga & Adik Nanie yang menghantar saya ke bus stand.

3 syawal / 1 september

Jam 6 pagi saya tiba di Sungai Petani. Angah bergerak dari Penang & mengambil saya di Plus Tol SP Selatan. Tibanya saya dirumah Angah memaklumkan mereka sudah pulang ke kampung isteri Baba mereka membawa Kakak & Adik. Tata, Kak Teh, Kak Cik ke Pendang beraya kerumah Makcik mereka. Kak Uda ada masjlis aidilfitri bersama student MMBB di Bandar Baharu. Angah kata nanti siang mereka balik SP, Kakak & Adik pula akan dihantar oleh Baba mereka dari Perlis.

Saya tak mahu kata apa lagi. Selepas solat subuh saya tidor menanti hari siang. Saya tak mahu menyaratkan fikiran saya dengan bermacam2 andaian.

Ketika sedang lena tidor, saya dikejutkan dengan kehadiran 3 anak2 dara anggun saya berbaju kurung dihadapan saya. Saya dakap mereka sambil mengucapkan salam aidilfitri. Mereka dihantar oleh sepupu mereka. Setelah berborak lebih kurang, Tata kembali ke Kedah, kampung Baba mereka. Katanya nak beraya disana menziarahi saudara mara. Menjelang jam 3 petang barulah permata hati yang saya tunggu2 sampai. Kakak & Adik sampai dari Perlis.

Menjelang petang, kasihan saya lihat Angah, Kak Teh, Kak Cik, Kakak & Adik duduk2 saja dirumah pada hari raya ni. Saya suarakan mereka bermain bowling di centre square. Ermmm semua seronok & setuju nak kesana. Selepas asar , lebih kurang jam 6 petang kami bergerak ke CS dengan 2 biji motor. Sementara menunggu maghrib Angah bawa adik2nya bermain games.

Selesai solat maghrib, kami bermain bowling. Seronok juga berbowling di hari raya. Melayan kerenah anak2, tiada apa lagi yang lebih membahagiakan melihat mereka ketawa ria.

Habis games kami p lepak2 di KFC pulak. Sekarang ni setiap kali berjumpa Kakak & Adik, mesti diaorang merengek nak makan KFC. Katanya lama tak makan. Kami bergerak balik kerumah jam 10 malam.

4 syawal / 2 september

Saya ada jemputan majlis walimah anak angkat di Telok Bahang hari ini. MAjlis bermula jam 5 petang hingga 12 malam. Saya memang bercadang nak hadir, disamping tu nak beraya kerumah kawan2 yang sudah saya anggap bagaikan saudara selama kami menetap di Telok BAhang. Malah selepas berhijrah dari sini pun, setiap kali raya kami pasti akan beraya kerumah mereka.

Tapi dengan anak2 ada bersama saya, kenderaan pulak takde macam manalah saya nak kesana. Ada kawan berjanji nak pinjamkan kereta, tapi maklumlah raya2 ni mesti semua orang nak pakai kereta. Saya berpakat dengan Angah nak ke Penang dengan motor je. Nasib baik Angah sporting, dia kata ok je. Selepas bersiap2 kami bergerak ke Penang lebih kurang jam 4 petang. Saya membawa Adik& Kak Cik bersama saya. Angah pula bawa Kakak & Kak Teh dengan RXZ nya. Kami konvoi bersama2 secara santai. Saya hanya mahu raya saya bersama anak2 amat bermakna & akan menjadi kenangan indah buat kami, walau hanya dengan apa adanya.

Kami tiba di KIP jam 6 petang. Atas pelawaan anak2 saya masuk juga kerumah itu, rumah yang pernah saya huni suatu ketika dulu. Seperti tiada persiapan raya dirumah ini. Saya betul2 menjadi tetamu sekarang, anak2 ambilkan saya minuman & kuih raya. Walaupun hati berat nak masuk ketika tuan rumah tiada, tapi saya turutkan kemahuan anak2.

Kak Uda pun nak join ke Telok Bahang, masalahnya Kak Uda masih belum ada lesen untuk bawa motor ke Telok Bahang. Dalam dok bincang2, Kak Uda pelawa kawannya ikut sama kami beraya ke Telok Bahang. KAwan tu ada kereta, sporting pula so kami beraya bersama2.

Sempat beraya ke rumah kawan yang saya sudah anggap saudara yang anak2 saya panggil Pak Ngah. Bersembang lebih kurang, kami menuju ke dewan tempat majlis walimah diadakan. Ramai juga kenalan lama yang kami jumpa disini. Kemudian kami beraya pula ke rumah seorang lagi kawan yg bagaikan saudara pada kami sekeluarga. Anak2 saya panggil mereka abah & umi.

Jam 11 malam kami bertolak balik KIP, kerana malam ni juga kami akan balik ke SP. Angah dengan RXZ nya, saya pula satu kereta dengan kawan Kak Uda. Badan memang letih & penat, nanti nak menunggang motor pula ke SP. Sampai di KIP, saya bergegas naik rumah untuk bersiap. tengok2 Angah dah sedap landing dengan seluar pendek mengadap laptop. Aik!! tak mau balik ke?.. Angah kata penat nak balik SP malam ni, dia ajak saya tidor di KIP. Adoi!! dalam hati saya tak mau, bertandang ketika tuan rumah tiada pun sudah cukup buat saya rasa bersalah, apatah lagi tido disini. Tapi anak2 memujuk saya agar tidor juga, pagi2 esok baru balik SP. Dengan berat hati saya tidor juga memenuhi permintaan anak2. Harap2nya saya tidak disalahkan kerana ketidakwajaran ini.

5 syawal / 3 september

Jam 8 pagi kami bergerak balik ke SP. Konvoi dengan 2 biji motor. Semoga anak2 terima keadaan bersama saya ini dengan apa adanya. Saya tak mampu lagi memberi mereka lebih daripada ini. Sampai saja di SP, Angah bergegas pula mahu ke MMBB, ada majlis hari raya. Saya rehat bersama anak2 yang lain, bersembang & berborak.

6 syawal / 4 september

Saya menyediakan menu lontong untuk hidangan anak2 saya hari ni. Niat hati nak buat masa semua ada, tapi tak semuanya lengkap bersama saya. Jadi saya buat dengan apa adanya saja. Permintaan Kak Cik yang lebihnya mahu saya buatkan lontong untuk dibawa ke asrama untuk menjamu kawan2.

Hari ini anak2 saya akan kembali ke Penang bersama Baba mereka semula. Jam 3 petang mereka sampai dari Perlis singgah ambil anak2 di TSI. Ciuman & lambaian mereka akan memberi makna saya akan sendirian semula untuk beberapa tempoh lagi. Apapun saya bersyukur, dapat bersama anak2 walaupun seketika.

Saya berharap anak2 gembira sepanjang bersama saya dalam masa yang singkat ini. Semoga kembalinya mereka kepangkuan Baba mereka, mereka akan meneruskan kehidupan dengan penuh ketabahan dari masa kesemasa.

Walaupun syawal masih panjang, tetapi aidilfitri buat saya sudah berakhir dengan kembalinya anak2 saya kedestinasi masing2.

Semoga detik2 pertama menyambut syawal dalam suasana yang amat berbeza buat saya & anak2 ini akan lebih memberi persediaan fizikal & mental buat kami ditahun2 akan datang. Semoga kami akan lebih bersedia melaluinya lagi nanti..

Wasalam
TSI Sg Petani
7 syawal / 5 september
Jam 3 petang




7 ulasan:

  1. Sibuk dan panjang liku-liku keraian HR MM.

    Seperti yang selalu IM katakan - tabahlah dalam menghadapi segalanya dan befikirlah secara positif.

    Nafas masih ada. Tuhan juga masih ada.

    Maka selama itu peluang untuk memperbaiki diri terbentang luas.

    mari kita menjadi hambaNya yang tau erti syukur dengan apa yang ada!

    BalasPadam
  2. salam IM,
    ialah IM.. sekarang yg terbaik adalah ikut je apa jalan yg ada didepan.. ikut A, habis jalan A ikut B... sterusnya C..D..E hingga Z asalkan jalannya jln yg diredhai..kan IM?...:)

    thanks IM atas doa, ingatan kata2 nasihat yg tak putus2 buat MM...

    BalasPadam
  3. Semoga diberkati dan jangan lepas peluang berpuasa sunat 6 syawal.

    Rancanglah perjalanan hidup dengan teliti seterusnya kita bertawakal kepada Allah.

    Laksanakan tugasan kita dengan sebaik mungkin. Ada hak untuk diri dan keluarga. Ada hak untuk masyarakat dan negara.

    BalasPadam
  4. salam
    terima kasih saudara rusli,
    I'Allah smoga dapat puasa sunat 6 syawal nanti...

    BalasPadam
  5. tabahlah yer kak...


    apakan daya, dah suratan Allah tulis gitu.. :)

    Salam Eid

    BalasPadam
  6. Alhamdulillah...selamat perjalanan MM bertemu ayah bonda an pulang semula ke SP.


    Maafkan segala salah silap tulisan ckLah ya MM, kalau ada tanpa disedari.

    Moga MM gembira sentiasa...

    BalasPadam
  7. salam cklah
    Alhamdulillah cklah...
    sama2 lah kita yer cklah maaf zahir batin kalau ada yg ter apa2 dimana2 tanpa disdari...

    BalasPadam

Salam...
Kepada Pelawat2 Yang Sudi Lawati Blog Kerdil ini Terima Kasih diucapkan.

Silalah Tinggalkan Komentar Anda.

Yang Baik Akan Dijadikan Tauladan, Yang Buruk Jadikan Sempadan