25 November 2009

"Tiada Maaf Bagimu....."

Assalamualaikum.....

Chin Peng dilarang pulang ke Malaysia. Muktamad, tiada maaf bagimu!

Walaupun saya tidak hidup dizaman pemerintahan Komunis Chin Peng tetapi filem Bukit Kepong tetap terpasak kemas difikiran saya. Sampai sekarang bila menonton filem lakonan & arahan Jins Shamsudin itu perasaan saya tetap berkobar2 & bersemangat srikandi lebih2 lagi bila melihat isteri2 polis turut sama melawan komunis habis habisan ketika itu.

Tambahan lagi filem itu dilakonkan di daerah kelahiran saya. Kampung saya Jementah berhampiran dengan Bukit Kepong. Malah Balai Polis iaitu tapak peninggalan peristiwa kekejaman komunis itu masih ada sampai sekarang.

Ketika filem itu dilakukan pengambarannya, saya masih menetap di salah satu tempat filem itu diadakan iaitu di Kebun Bahru. Salah seorang cina disitu yang juga kenalan abah saya berlakon sebagai komunis. Punyalah masyarakat disitu marahkan komunis, hingga selepas menonton filem itu, cina yang berlakon sebagai komunis itu dibenci oleh penduduk kampung.

Saya masih kecil ketika itu, tetapi kejadian itu diceritakan semula oleh abah saya, lebih2 lagi bila filem itu diulang tayang. 

Selain kisah2 Bukit Kepong, abah saya turut juga bercerita kisah beliau hidup dizaman jepun. Selain menghadapi kekejaman komunis, hidup dizaman jepun juga amat menyiksakan. Saudara kembar abah saya seorang perempuan meninggal gara2 tidak cukup makanan. Beras yang ada hanya diberi kepada anak lelaki, sebaliknya anak perempuan lebih diberi makan ubi kayu hingga kembong perut.

  
 Chin Peng yang dilahirkan pada  21 Oktober 1924  ialah nama samaran Ong Boon Hwa, ketua Parti Komunis Malaya. Beliau dianugerahkan Order of the British Empire (OBE) dan dua pingat kerana membantu British melawan pendudukan Jepun di Malaya dalam Perang Dunia Kedua. 

Sebagaimana sangkaan ramai, Chin Peng bukan berasal dari China , tetapi beliau adalah seorang Cina Kantonis yang dilahirkan di sebuah kedai kecil dua tingkat menjual basikal , di No. 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan Perak yang terletaknya 50 kilometer dari barat daya bandar Ipoh, Perak. Beliau merupakan anak kedua daripada enam beradik yang hidup dalam kemiskinan. Ayahnya datang dari negara China dan kecewa akibat kemelesetan ekonomi 1930.

 
Semasa kecil Chin Peng minat sekali membaca bahan-bahan media cetak dan menyoroti perkembangan di negara China. Ketika itu berlaku pertikaian antara Chiang Kai Shek dan Mao Zedong. Tentera Jepun pula merampas Manchuria dan menguasai pedalaman China. Negara China merupakan tanah kelahiran bapa dan nenek moyangnya di kawasan Kwantung.

Semasa berumur 15 tahun, Chin Peng mempunyai perasaan yang dekat dengan nasionalis berpendidikan barat Ching Kai Shek yang menguasai kawasan selatan China dan Taiwan. Tapi buku kecil 'On Protacted War' karangan Mao Zedong mengubah pendiriannya kepada aliran komunisme. Tekadnya jelas untuk menentang Jepun yang kemudian menyerang Tanah Melayu tahun 1941.

Pada tahun 1940, beliau diterima untuk menyertai Parti Komunis Malaya iaitu satu cabang Parti Komunis China di seberang laut. Dia turut menyertai Force 136, satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu. Ketika itu umurnya baru sahaja 18 tahun.

Chin Peng memimpin MPAJA atau Malayan People Anti Japanese Army, sebuah pasukan gerila bagi menentang Jepun. Tentera British (Pasukan Special Air Services dan MI6) yang diterjunkan di hutan Perak, telah memberi pelbagai senjata, kewangan, latihan dan pelbagai peralatan lain bagi memperlengkapkan Force 136 dan MPAJA. Tentera MPAJA pernah menyerang tentera Jepun di Sungai Perak berhampiran dengan tebing Pasir Salak pada tahun 1942.

Selepas Perang Dunia II, beberapa pihak yang berfahaman radikal dalam MPAJA telah bertindak keluar hutan untuk membunuh dan menyeksa mereka yang bersubahat dengan tentera Jepun dan tali barut British. Mereka turut membunuh pemimpin tempatan seperti para Penghulu dan para Imam kampung sebagai taktik memantapkan penguasaan mereka. Selain itu, puak radikal dalam MPAJA turut cuba merampas pentadbiran terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu. Tindakan puak yang didakwa radikal tidak pernah disekat oleh MPAJA. Ini kemungkinannya MPAJA sebenarnya sedang menilai kejayaan tindakan sedemikian. Membiarkan tindakan ahlinya bermaharajalela membunuh dan menyeksa penduduk sekali gus menunjukkan tindakan tersebut mendapat sokongan tersembunyi dari para pemimpin MPAJA.

Tindakan puak radikal dalam MPAJA ini telah menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu yang bangkit untuk menentang pihak komunis di bawah beberapa pemimpin seperti Panglima Salleh Selempang Merah. Akibat daripada tindak balas orang Melayu ini, Parti Komunis Malaya gagal merampas kuasa malah terpaksa meminta campur tangan Tunku agar mententeramkan orang-orang Melayu yang bangkit ketika itu.

Malah ada beberapa fakta yang menunjukkan bahawa beberapa pihak di dalam kelompok Melayu elit yang telah menghasut dan membangkitkan isu perkauman Cina/Melayu dalam usaha mereka mengekalkan kekuasaan mereka. Kelompok Melayu elit ini rata-rata amat mengharapkan agar pihak British akan datang kembali dan seterusnya membolehkan mereka bertapak kukuh di dalam urusan politik tempatan. Malah pihak-pihak ini juga menghasut agar beberapa individu dan pertubuhan dilabelkan sebagai puak kiri dan kemudiannya berjaya mengharamkan pertubuhan tersebut dan menangkap pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya.

Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan pihak Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.

Atas jasanya terhadap perjuangan penentangan pendudukan Jepun, Chin Peng dijemput ke London untuk menerima medal 'Order of the British Empire ' kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136 menentang Jepun. Tapi tekadnya untuk menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Melayu dan menyingkirkan British dan akhirnya memerdekakan Malaya semakin membuak-buak selepas itu. Suasana aman dan maju di kota London meningkatkan azamnya untuk berjuang di dalam hutan Tanah Melayu.

 
Ketika berumur 23 tahun, Chin Peng dilantik sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya menggantikan Lai Tek yang telah dibunuhnya di Thailand. Lai Tek adalah perisik tiga mata yang telah belot dan melarikan wang Parti Komunis Malaya .

Di bawah pimpinannya Parti Komunis Malaya semakin agresif dan militan dengan menyerang ladang-ladang, gudang getah, rumah asap dan rumah pengurus milik orang British di Tanah Melayu. Lantaran itu ahli PKM semakin menyanjung keberanian dan wawasan Chin Peng. Taktik ini membawa padah kepada Parti Komunis Malaya kerana tidak langsung diterima di kalangan orang Melayu.

Parti Komunis Malaya juga tidak mengamalkan athiesme. Walaupun prinsip utama komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai tuhan dan menyatakan bahawa agama itu adalah candu manusia, namun apa yang berlaku di Tanah Melayu pada waktu itu ialah mereka mengamalkan prinsip keagamaan seperti mana yang kita dapat lihat dalam salah seorang tokoh PKM iaitu Rashid Maidin, Abdullah C.D dan Suraini Abdullah. Mereka tetap mendirikan solat lima waktu seperti mana yang dituntut oleh agama Islam walaupun di dalam hutan semasa perjuangan. Mereka juga telah menunaikan ibadah haji. Sememangnya Rashid Maidin adalah seorang yang warak dan berilmu agama yang tinggi malah beliau juga mengajar cucunya dan beberapa budak-budak kampung membaca Al Quran dan Tajwid.

Ketika darurat, British dengan kerjasama golongan Melayu elit dengan melancarkan perang saraf iaitu propaganda melalui media massa untuk mempengaruhi fikiran orang-orang Melayu supaya mereka yakin bahawa Parti Komunis Malaya itu kejam dan tidak sesuai diikuti. Pengalaman orang-orang Melayu selepas Perang Dunia II dan taktik komunis yang membunuh beratus-ratus rakyat yang tidak berdosa menyebabkan kebanyakannya orang Melayu menolak cara ganas komunis. Perjuangan bangsa Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah tidak disenangi komunis yang inginkan kuasa politik jatuh ke tangan mereka dengan cara menggunakan keganasan dan menanam rasa takut kepada rakyat amnya. Perjuangan komunis tidak boleh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya. Ini terbukti apabila mereka tetap meneruskan taktik ganas mereka walaupun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan terbukti boleh dicapai bukan dengan perjuangan pertumpahan darah dengan sia-sia tetapi dengan rundingan damai yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk semua pihak.

 
Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling pada tahun 1955. Tunku Abdul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan enggan menyertai pilihan raya melalui parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tuntutan PKM agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.

Dengan keengganan Parti Komunis Malaya berdamai, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka tanpa Parti Komunis Malaya. Parti Komunis Malaya yang lemah diasak semakin jauh ke dalam hutan sehinggakan kadang-kala tersingkir keluar dari Malaysia khususnya di sempadan Malaysia-Thailand.

 
Setelah keruntuhan komunis di Rusia dan runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur tahun 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaysia telah ditandatangani di Haadyai pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.

Selepas 1989, tiada ada lagi perjuangan bersenjata . Ahli PKM diterima sebagai warganegara Malaysia dan boleh kembali ke Malaysia. Walau bagaimanapun, pemimpin utama seperti Chin Peng dan Rashid Maidin hanya dibenarkan menetap di sebuah perkampung khas di Yala, Thailand.

 
Cubaannya untuk kembali ke Malaysia menerima sokongan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan dan parti DAP. Chin Peng tidak pernah menyatakan kesal memimpin Parti Komunis Malaya dalam perperangan mereka menentang kerajaan malaysia, malah bangga dengannya sebagaimana yang ditulis olehnya dalam bukunya, ("Setiap generasi membina impiannya. ... Tetapi anda membayar ke atas impian anda itu. Kami telah membayar harga ke atas impian kami. ... Saya tidak menyesal berjuang ke atas sesuatu yang saya percaya dan masih mempercayainya sebagai suatu perjuangan yang adil.") . Ia turut disokong oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas dasar perikemanusiaan .

Chin Peng telah membawa kesnya di mahkamah Pulau Pinang agar dia diterima pulang ke Malaysia. Penerimaan Chin Peng kembali ke Malaysia ditentang hebat oleh ramai sanak saudara mangsa kekejaman Parti Komunis Malaya termasuk polis dan tentera yang cedera dan terkorban. Ini disebabkan Chin Peng merupakan orang yang bertanggung jawab dengan kegagalan Rundingan Baling dengan berkeras menuntut agar Parti Komunis Malaya diterima sebagai sebuah parti politik, walaupun telah ditawarkan pengampunan sebelumnya.

Bagaimanapun terdapat pihak yang mempersoalkan kenapa Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh (bekas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Muda) dapat diterima kembali ke Malaysia, tetapi tidak bagi Chin Peng. Persoalan ini dicetuskan tanpa memikirkan bahawa Chin Peng tidak pernah menyatakan kekesalannya membunuh rakyat Malaysia malah berbangga dan menulis buku bagi membenarkan tindakannya.

Sumber Mama Moden dari : Wikipedia Ensiklopedia Bebas




5 ulasan:

  1. Salam...



    Sejarah sepatutnya mengajar kita....

    Selamat Hari Raya dari ckLah sekeluarga..

    BalasPadam
  2. Pun begitu ada juga portal berita yang cuba potretkan beliau sebagai hero.

    Kesalnya.

    BalasPadam
  3. Salam dan selamat hari raya aidil adha.

    BalasPadam
  4. Tajuk entri ni buat suspen je... Ingatkan merajuk dengan siapa tadi, rupanya dengan Chin Peng

    BalasPadam
  5. Cikgu Lah,
    salam aidiladha juga dr mama moden & keluarga. Slamat bhimpun, bBBQ ngan famili tsayang..

    yer.. sej mngajar kita.

    Salam PUPP,
    setiap org lain pandangan & pendapatnya... biarkan siluncai terjun dgn labu2nya

    Salam abu muaz,
    salam aidiladha juga buat anta sekeluarga

    Salam Zool,
    hehehehe suspen jer kan...
    tak laratlah nak merajuk2, bukan ada yg nak pujuk pun!

    BalasPadam

Salam...
Kepada Pelawat2 Yang Sudi Lawati Blog Kerdil ini Terima Kasih diucapkan.

Silalah Tinggalkan Komentar Anda.

Yang Baik Akan Dijadikan Tauladan, Yang Buruk Jadikan Sempadan