07 Ogos 2009

Sama2 Kita Ambil Ikhtibar Dari Kisah Ini.....

Assalamualaikum.....

Satu kisah benar yang menarik dan berguna untuk renungan kita bersama.

Kisah ini diceritakan oleh Ustaz Shamsuri dalam salah satu siri-siri ceramah beliau mengenai kebajikan anak-anak yang soleh kepada ibu mereka yang telah meninggal dunia.

Mungkin ada yang telah mendengarnya dan sama-samalah kita renungkan sejauh mana kebaktian kita kepada kedua-dua ibubapa kita.

Kisah menarik ini adalah tentang diri Ustaz Harun Din dan adik-beradik beliau. Memang telah diketahui umum, bahawa Ustaz Harun Din dan adik-beradik beliau mempunyai pegangan dan ilmu agama yang tinggi hasil didikan ibubapa mereka yang telah berjaya mencernakan roh Islam ke dalam diri anak-anak mereka hingga menjadi alim ulama, tempat rujukan umat Islam di negara ini, malah di tempat lain juga.


Diceritakan bahawa, ibu Ustaz Harun telah meninggal dunia semasa dalam solat Asar. Sebelum kematian ibu beliau, pada kebiasannya, ibu beliau akan bersembang-sembang dengan jiran-jiran. Para jiran tertanya-tanya ke manakah gerangan si ibu itu, kalau dikatakan pergi ke rumah anak-anak, tidak pula.

Setelah agak lama dengan ketiadaan si ibu itu, lalu jiran mensyaki sesuatu telah berlaku terhadap ibu Ustaz Harun. Mereka kemudian menjenguk ke dalam rumah sambil memberi salam, tetapi tiada jawapan. Mereka kemudian memberanikan diri untuk masuk ke dalam rumah dan alangkah terperanjat para jiran itu apabila mendapati ibu Ustaz Harun Din telah pun meninggal dunia semasa dalam solat Asar. 

Mereka terus menghubungi anak-anak allahyarhamah. Pada kebiasaannya, apabila berlaku satu-satu kematian, di mana-mana pun akan kita dapati jenazah itu diuruskan oleh orang-orang kampung atau jamaah masjid, jenazah lelaki, oleh jamaah lelaki, manakala jenazah perempuan oleh jamaah perempuan. Tetapi berlainan pula dengan jenazah ibu Ustaz Harun Din ini.

Beliau sendiri beserta dengan adik beradik beliau (Ustaz Abu Hassan Din dan Ustaz Ishak Din) menguruskan jenazah ibu mereka. Dengan penuh belaian kasih sayang dan penuh hormat mereka memandikan ibu mereka, mengkafankan, serta menunaikan solat jenazah yang diimamkan sendiri oleh Ustaz Harun Din.

Walaupun diminta oleh orang-orang kampung untuk melaksanakan urusan jenazah tersebut, Ustaz Harun dan adik beradik mereka dengan penuh sopan mengatakan kepada orang-orang kampung bahawa ini adalah ibu mereka yang telah berjasa melahirkan, memberi makan minum serta mendidik mereka sehingga menjadi anak-anak yang berguna. Oleh itu, sebagai penghormatan yang terakhir dan tanda kasih sayang anak-anak terhadap ibu mereka, biarlah mereka sendiri yang menguruskan jenazah ibu mereka itu.

Maka ramailah orang-orang kampung yang mengalirkan airmata mereka, mengenangkan tentang kebaikan dan kesolehan anak-anak hasil didikan tangan si ibu yang berjaya mendidik anak-anak dengan cahaya iman. Sehinggalah ke saat pengkebumian jenazah, urusan ini ditangani sendiri oleh Ustaz Harun adik beradik. 

Sungguh menarik dan mengharukan kisah ini. Tanyalah diri kita sendiri. Bagi yang masih mempunyai ibu dan bapa, bagaimana nanti peranan kita semasa jasad ibubapa kita terbujur kaku. Adakah kita juga ingin menghulurkan bakti zahir yang terakhir sebagai tandah hormat kita kepada kedua-dua ibu bapa kita? 

Ataukah kita hanya menyerahkan bulat-bulat urusan itu kepada orang-orang kampung atau jamaah masjid untuk menguruskan jenazah mereka, tanpa ingin mengambil peluang terakhir untuk berbakti. Inilah bakti zahir yang terakhir yang dapat kita lakukan, disamping doa dan amalan-amalan baik kita yang kita hadiahkan kepada ibubapa kita.

Bagaimana pula peranan kita sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak kita yang sedang membesar? Bagi yang telah bergelar ayah/papa/bapa dan ibu/mama/emak dan sebagainya, bagaimana nanti agaknya perlakuan anak-anak kita setelah jasad kita pula terbujur kaku, menanti waktu untuk diuruskan pengkebumian?

Adakah anak-anak kita akan berebut-rebut untuk menguruskan, atau bertempiaran lari kerana takut atau hina memandang jenazah kita yang telah kaku? Sama-samalah kita renungkan ke arah mana diri kita sebagai anak dan juga sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak yang sedang memerlukan didikan agama dari kita. Kita berilah didikan agama yang sebaiknya kepada anak-anak kita agar menjadi orang-orang yang beriman dan berguna kepada agama, bangsa dan negara, seperti contoh yang telah dipertuturkan di atas tadi.

P/S : Kepada yang sudi mendengar luahan hati saya malam semalam, sudi melayan kerinduan saya pada mak abah, rasa bersalah saya kerana tidak dapat berbakti pada mereka... Terima kasih kerana sudi menjadi pembaca luahan kata2 mama. 



1 ulasan:

  1. Gua nak ajak lu datang blog gua..pekena kenduri kat sana.Folo baca doa pun takpa.Kalau suka link

    BalasPadam

Salam...
Kepada Pelawat2 Yang Sudi Lawati Blog Kerdil ini Terima Kasih diucapkan.

Silalah Tinggalkan Komentar Anda.

Yang Baik Akan Dijadikan Tauladan, Yang Buruk Jadikan Sempadan