Assalamualaikum....
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut awal bulan lalu.
Mahkamah Tinggi sebentar tadi mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Nizar telah kehilangan jawatan tersebut awal Februari berikutan krisis politik Perak. Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah memohon agar menangguhkan pelaksanaan keputusan sementara mahu mengemukakan rayuan.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mula membacakan kertas penghakiman bermula kira-kira 2.30 petang. Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah. Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, PAS dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.
Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Pakatan memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong BN. Tindakan itu menyebabkan BN secara automatik telah memiliki sokongan majoriti dalam DUN Perak. Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu. Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan.
Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka. Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.
Mahkamah juga memutuskan menteri besar BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan enam exconya mengosongkan dengan kadar segera pejabat mereka - di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh. Dalam penghakimannya, hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan.
Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian. Dalam penghakimannya, Abdul Aziz berkata jika Sultan Perak mahu meletakkan Mohamad Nizar meletakkan jawatan, maka baginda sepatutnya mengambil sidang DUN untuk mengemukakan usul tersebut. Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman tersebut ditolak oleh mahkamah.
Mengulas kemenangannya, Menteri Besar Pakatan Rakyat itu berkata beliau akan menghadap Sultan Perak berhubung penghakiman mahkamah tersebut. Pada 13 Februari lalu, Mohamad Nizar memfailkan saman mencabar pelantikan Zambry di kompleks mahkamah Jalan Duta, kira-kira seminggu selepas rampasan kuasa BN dan sekali gus pelantikan wakil rakyat BN itu. Mohamad Nizar, ADUN Pasir Panjang, juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah perisytiharan bahawa Zambry yang dilanti 6 Februari lalu tidak berhak memegang jawatan Menteri Besar.
Dalam permohonan itu, wakil rakyat PAS itu mendakwa beliau masih Menteri Besar yang sah atas tiga alasan berikut:
Tidak terdapat pembubaran DUN Perak
Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh DUN terhadapnya sebagai menteri besar Perak
Tidak terdapat peletakan jawatan menteri besar Perak.
"Melalui kenyataan media pejabat Sultan pada 5 Februari 2009, Sultan bertitah tidak akan membubarkan DUN dan sekiranya saya serta ahli majlis mesyuarat negeri tidak meletakkan jawatan, jawatan kami akan dianggap kosong."
"Saya menegaskan bahawa walaupun terdapat usaha mengusir saya daripada jawatan menteri besar Perak, saya masih menteri besar dan masih menjalankan fungsi dan tugas dengan baik, cermat dan adil," katanya dalam afidavit, menyokong permohonan itu.
Mohamad Nizar juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya responden memberikan tunjuk sebab bagaimana dan di bawah dasar apa Zambry, sebagai responden, berhak memegang jawatannya sekarang. Beliau mendakwa responden secara tidak sah mengambil dengan tiada hak dan merampas jawatan menteri besar, serta menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai menteri besar secara tidak sah dan bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas menteri besar di negeri itu.
Tahniah kepada MB Nizar Jamaludin dan Kerajaan Perak. Dato' Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat berpesan :
YAB Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan beberapa kenyataan dan nasihat kepada seluruh rakyat Malaysia sebentar tadi sebagaimana di maklumkan melalui talipon oleh sdr. Mat Ali semasa dihubungi sebentar tadi. Beliau bersama Tok Guru semasa pengumuman kemenangan Nizar di umumkan.
Kata Tok Guru :" Setelah kita menang di Perak kini Perak telah bertukar menjadi Emas buat Pakatan Rakyat, kejahatan telah terbukti dan kebenaran telah menjelma. Saya menasihati agar yang beragama Islam untuk puasa sunat esok hari serta sembhyang Sunat Syukur 2 rakaat. Jangan terlalu gopoh dengan kemenangan ini"
Selain itu dimaklumkan setelah Tuan Guru menerima berita itu beliau telah solat sunat dan disusuli dengan sujud syukur.
Allahu Akbar. Yang benar pasti Allah tunjukkan kebenarannya.
BalasPadam