31 Julai 2011

1 Ramadhan, Terawih Malam Pertama....

Assalamualaikum.....

Alhamdulillah, akhirnya ramadhan datang juga. Syukur saya dapat menunaikan ibadah solat sunat terawih pada malam pertama ini. Memandangkan ahad shif morning, pukul 5 dah boleh balik.

Pukul 8 malam tadi leganya dapat telefon kakak dan adik untuk ucap selamat berpuasa. Sayu juga hati bila memikirkan aktiviti puasa mereka. Harapnya ada kenderaan nak ambik mereka ke Sungai Petani hujung minggu ni.

Tahun lepas kami berpuasa bertiga di KL. Tahun2 sebelumnya kami sekeluarga bersama2 menjamu sahur & berbuka. Tapi tahun ini saya benar2 sendiri. Semoga Allah tabahkan, kuatkan hati saya sepanjang ramadhan ini.

Saya tahu saya tak patut mengeluh atau mengenang kenangan lalu, tapi hakikatnya saya masih punya hati & perasaan. Saya masih punya ingatan untuk mengingati semu itu, lainlah kalau saya sudah hilang ingatan. Apapun saya hanya mengenang kenangan2 indah saya berpuasa bersama anak2. Mereka permata hati saya dunia akhirat..

Ya Allah, tunaikan permintaanku yang satu dibulan ramadhan ini. Tunaikan hajat ku untuk berpuasa bersama mereka hujung minggu ni. Amin....








Mama rindu & sayang kalian sangat2, jaga diri baik2 yer sayang. Semoga Allah lindungi anak2 mama....


Ahlan Wasahlan Y a Ramadhan... Semoga Ramadhan Kali Ini Lebih Baik Dari Yang Lalu.....

Assalamualaikum.....




Doa Malaikat Jibril menjelang Ramadhan

Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada)
Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri
Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya

Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali.

Salam ramadhan buat semua saudara mara, sahabat handai dialam maya atau dialam nyata. Ampun maaf dipinta atas segala kekhilafan, saya insan yang amat lemah & serba tidak sempurna..hanya maaf yang saya pohonkan...


29 Julai 2011

Akhirnya....Terima Kasih Rakan2 Sekerjaku...

Assalamualaikum....

Semenjak memulakan alam pekerjaan di Econsave, saya seronok dengan suasana baru alam pekerjaan saya. Memulakan karier sebagai seorang cashier memang amat menyeronokkan. Walaupun penat & letih tetapi demi sebuah kehidupan saya meneruskan bidang baru saya ini. Berbagai suka duka saya lalui bersama majikan & rakan2 sekerja.

Sehinggalah bermula 27 mei lepas atas arahan majikan saya bertukar department ke frozen department. Pada mulanya saya merasa agak penat berada disini, sampai satu tahap saya pernah berhasrat untuk berhenti tetapi bila difikirkan bukan senang nak cari kerja dalam keadaan umur saya sekarang, tambahan lagi saya tak pernah bekerja diluar sebelum ini.

Lagipun saya mulai seronok disini. Punya majikan yang baik, rakan2 sekerja yang memahami, bidang kerja yang amat serasi saya rasakan. Jika saya bertukar kerja lain belum tentu serasi dengan saya.

Masalah yang saya hadapi ialah bekerja dalam keadaan berdiri yang lama. Dengan berat badan yang begini besar dalam keadaan berdiri kaki saya tak mampu menanggung berat badan saya. Memang pinggang, kaki saya sentiasa merasa sakit, namun saya bertahan sahaja. Saya makan ubat urat yang diambil diklinik & sapu minyak panas untuk mengurangkan kesakitan yang saya alami.

Semakin lama saya semakin seronok berada di frozen. Semakin banyak perkara yang saya belajar. Sejak semakin cekap menimbang, saya semakin seronok berada dikaunter timbang. Walaupun bukan giliran shif saya bertugas dikaunter timbang, saya seboleh mungkin membantu rakan2 membuka kaunter timbang jika customer terlalu ramai.

Sehinggalah sejak seminggu ni sakit pinggang yang saya alami semakin menjadi2. Bila berbaring, tidur agak susah saya nak bergerak kekiri & kekanan. Bila nak bangun juga agak susah, kadangkala mengalir airmata saya menahan sakit. Namun saya gagahi juga.

Ketika bekerja juga saya turut alami rasa sakit itu terutama ketika mengangkat barang2 yang berat. Namun saya tak mahu manjakan keadaan itu. Saya anggap itu perkara biasa bila bekerja disini. Rakan2 yang lain boleh buat, mengapa saya tidak!!!

Kemuncak rasa sakit itu bermula sejak semalam. Semalam khamis saya rest. Sejak malam lagi saya sudah rasa semakin sakit, sakit sangat. Seharian saya memang tak kemana2, tapi saya berusaha berjalan2 merenggangkan urat sendi didalam rumah. Namun sehingga kemalam sakit itu masih berpanjangan. Bangun pagi tadi, memang terasa sakit sesungguhnya. Selepas solat subuh, saya gagahkan diri untuk mandi & bersiap ke tempat kerja. Saya nekad bulan ni, sepanjang ramadhan saya nak cuba kerja full. Selain memahami keadaan customer yang ramai, saya nak cari duit raya yang lebih. Kalau anak2 dapat beraya bersama saya nanti, saya nak sajikan hidangan yang istimewa2 sepanjang syawal yang mereka ada bersama saya.

Sebaik bersiap, saya meneruskan perjalanan ketempat kerja dalam keadaan pinggang yang masih sakit. Sekejap datang, sekejap pergi sakitnya. Saya sampai ditempat kerja dalam keadaan tak bermaya rasanya. Pergerakan yang perlahan.

Bermula jam 8 pagi, kami di frozen mula menyusun segala macam barang2 untuk didisplay sebelum customer mula masuk jam 9 pagi. Saya memang tidak lincah seperti selalu membantu Kak Letchumy & Kak Valli menyusun sayur2an. Saya sudah mula terasa sakit, sakit sangat tapi saya masih bertahan. Pada Kak Rozitah, Kak As , Kak Letchmy, Kak Valli saya maklumkan akan kesakitan yang saya alami. Mereka menyarankan saya keklinik ambil ubat. Pada Kak Ani, supervisor saya maklumkan minta surat untuk keklinik nantinya, tujuan saya hanya untuk ambil ubat dari doktor.

Sampai satu tahap saya tak mampu bergerak kemana2 lagi. Saya ambil keputusan untuk merepair daun bawang sebelum didisplay. Saya berada disitu agak lama juga. Hinggalah tiba2 saya terasa mahu tumbang. Saya berpaut pada rak daun bawang sambil memanggil Vasagi yang sedang memilih lada dihadapan saya. Ketika itu saya sudah tidak merasa apa2 lagi dipinggang hingga kekaki saya, sakit sakit yang amat sangat. Saya sudah menjerit kesakitan ketika itu sambil menangis semahu2nya. Semua rakan2 sekerja mengelilingi sambil memaut saya daripada jatuh.

Saya tidak sedar ketika mana saya sudah duduk diatas troli yang menolak barang2 difrozen beralaskan bakul sayur. Terima kasih pada Shasi yang menolak saya hingga keluar bersama supervisor Kak Ana yang memeluk saya. ambil menunggu surat keklinik disiapkan rasanya terlalu lama. Kak Ana & Kak Rozitah menghantar saya keklinik sambil diiringi ramai rakan2 sekerja dikeliling saya. Terasa azabnya nak bergerak masuk kekereta. Semakin sakit bila seluruh badan bergerak, namun semangat dari rakan2 yang meminta saya kuatkan diri, saya gagahi juga.

Sampai diklinik, doktor masih belum sampai. Pekerja klinik membawa saya berehat di bilik menunggu. Agak lama juga hingga saya terlelap menahan sakit. Saya kemudian diperiksa oleh doktor, doktor mengatakan ada kaitan dengan urat ataupun jika berkaitan dengan masalah tulang pinggang saya yang mungkin beralih & lama kelamaan ianya tidak mampu menampung badan saya. Doktor memberi saya suntikan menghilangkan rasa sakit sambil menyarankan saya kehospital untuk membuat rawatan lanjut.

Rasa sakit sedikit kurang tetapi, diganti dengan sakit suntikan pulak. Hampir setengah jam selepas disuntik, doktor memberi saya MC untuk hari ini.

Saya dihantar balik kerumah oleh Kak Ana & Kak Rozitah. Terima kasih buat semua rakan2 sekerja di frozen. Supervisor Kak Ana, Kak Ani, Wan. Juga rakan2 sekerja Kak Rozitah, Kak As, Kak Ju, Kak Letchmy, Kak Valli, Vasagi, Punesh, Prema & juga Shasi yang menolak saya hingga keluar tadi. Terima kasih juga pada rakan2 yang lain yang berada dikeliling saya tadi yang saya tidak perasan kehadiran mereka kerana menahan sakit.

Mujurlah saya gagahkan diri untuk ketempat kerja tadi, kalaulah saya tak pergi kerja tadi, mungkin kejadian tu berlaku dirumah ketika saya sendirian... Semoga Allah pulihkan kesakitan saya dengan lebih baik....






19 Julai 2011

Nasi Ambeng WITH Kari Kambing.....


Assalamualaikum.....

Akhirnya berjaya juga majlis kenduri tahlil & doa selamat yang kami adik beradik rancangkan. Lebih kepada majlis Adik Johan & Adik Nanie yang buat aqiqah untuk anaknya. Kami yang lain menumpang2 saja, apa yang penting seronok dapat berhimpun bersama2 sekali sekala. Adik Faizal yang dah bertahun tak balik pun dapat balik bersama keluarganya.

Saya & Kak Uda sampai pagi khamis selepas bertolak dengan bas cepat ekpress rabu dari Sg Petani jam 10.30 malam. Sampai di Jementah jam 7 pagi. Adik Lia ambik kami berangkut dengan motor dari simpang masuk ke Taman Pelangi , penginapan Mak & Abah serta juga rumah Atam & Acik.

Selepas berhenti rehat sekejap dirumah Atam, Saya & Kak Uda cek in masuk ke rumah Mak & Abah. Selepas berehat lebih kurang saya mengemas2 lebih kurang rumah sementara menanti ketibaan Adik Nanie sekeluarga dari Batu Pahat & Adik Johan sekeluarga yang bertolak sekali dengan Adik Faizal sekeluarga.

Sebelum maghrib Adik Nanie sampai. Bertambah riuh rumah dengan jerit pekik Abby & Hawa. Kami membantu Adik Nanie menyiapkan cenderahati untuk majlis aqiqah anaknya keesokkan harinya.

Sambil2 menunggu ketibaan Adik Johan Saya & Adik Nanie berkunjung ke rumah Ateh & Along. Bila dah berjumpa memang macam2 yang kami bualkan. Ada saja yang mahu diketawakan, ditangiskan bersama...

Lebih kurang 10 malam Adik Johan sampai bersama Adik Faizal. Wah! Bertambah riuh rumah dengan suara2 kami yang bagaikan halilintar & jerit pekik anak2 buah Saya. Ketika ini jauh disudut hati Saya, Saya amat rindukan Adik & Kakak....

Selepas berborak lebih kurang kami berehat malam itu kerana pagi esok seharian hingga kemalam kami akan sibuk berewang untuk majlis tahlil, doa selamat & aqiqah hingga selesai majlis.

Sebaik masing2 selesai solat subuh, kami memulakan tugas masing2. Saya, Abah, Mak & Adik Johan ditugaskan kepasar membeli bahan2 basah & menambah apa2 yang kurang yang masih belum dibeli. Sebahagiaannya telah Mak & Abah siapkan. Sebahagian lagi dibawa Adik Johan & Adik Nanie.

Sebaik balik dari pasar adik beradik yang dirumah sudah pun mula berewang. Along sekeluarga juga dah sampai. Atam, Ateh juga dah bersinsing lengan didapur. Kami rewang adik beradik saja untuk penyediaan 10 dulang nasi ambeng.

Menu hidangan kami nasi putih, ayam tua masak ungkep, ikan masin bulu ayam goreng, sayur campur, serunding, mee goreng & yang paling special kari kambing, daging aqiqah untuk anak Adik Nanie, Abby. Kami juga menyediakan 2 tingkat pulut kuning yang dihiasi telur puyuh. ( ermmm kerja tangan Saya, Kak Long & Adik Nanie, amat cantik bila dah siap ).

Setelah siap kami rewangkan semua bahan, 2 hero Wak Kassim memulakan tugas2 memasak didapur. Semua menu ditumis & dimasak oleh mereka berdua Adik Johan & Adik Faizal dipantau oleh Kakak2 mereka serta boss besar & mem sehingga habis semua menu. Hujan rahmat mengiringi proses memasak, mujurlah ada kain kanvas dijadikan khemah ringkas.

lebih kurang jam 6 petang semua hidangan telah disiapkan. Proses merasa adalah masa yang amat best. Masing2 menyiapkan diri seanggun yang boleh untuk majlis. Tidak terasa pun penat walaupun menyediakan menu yang pelbagai.

Majlis bermula selepas isyak. Selepas maghrib proses menghidang ambeng dimulakan diketuai oleh mem besar. Alhamdulillah 7 dulang besar & 4 dulang kecil dapat kami sediakan.

Tidak lupa saya sertakan kiriman doa pada majlis tahlil ini buat kedua2 Allahyarham & Allahyarham bekas ayah & mak mertua saya. Semoga roh mereka dicucuri rahmat & ditempatkan dikalangan orang2 beriman.

Sebaik majlis bermula, kami & yang memang tidak biasa melihat kemeriahan kenduri ambeng tak lepas peluang melihat bagaimana hidangan dibahagi2kan sesama tetamu. Selepas menjamu kuih muih yang dihidangkan sebagai hidangan sampingan, tetamu2 mula membahagi2kan hidangan ambeng sesama mereka. Ambeng yang telah dibungkus di bawa balik bersama bungkusan kari kambing & kuih muih yang disediakan untuk dinikmati bersama keluarga dirumah. Satu adat yang amat unik, tidaklah ketua keluarga atau ayah sahaja yang dapat menikmati hidangan, tetapi satu keluarga boleh makan bersama.

Proses mengemas & membasuh tidak renyah sangat kalau kenduri ambeng diadakan kerana hanya menggunakan dulang. Tidak banyak pinggan mangkuk yang perlu dibasuh tidak seperti kalau kenduri secara hidangan.

Selesai kenduri kami yang singgle minggle sempat lagi ronda2 relise tension kat karaoke. Kalau dah namanya balik kampung, tiada istilah rehat atau tidur. Ada saja agenda yang kami rancangkan, maklumlah bukan senang nak berkumpul ramai2 sekaligus.

Semoga kami dapat selalu berhubung & berjumpa selepas ini. Saya tak mahu lagi menanggung sarat rindukan keluarga seperti puluhan tahun ini kerana banyak yang membataskan saya pulang kekampung sekerap yang boleh. Banyak aktiviti keluarga yang tidak dapat saya sertai lantaran memperuntukkan masa untuk keluarga sendiri, untuk suami & anak2.

gambar2 kenangan kenduri ambeng tahun 2010
gambar tahun ni masih ada pada adik nanie, nanti saya akan masukkan bila dah dapat gambarnya....

















08 Julai 2011

Sekadar Catatan.... Mereka Permata Hatiku!

Assalamualaikum.....

6 Julai 2011
Jam 12 tengahari
Ketika waktu rehat tengok telefon, terima panggilan tidak dijawab dari Atam, selalunya Atam jarang telefon, jadi bila terima panggilan dari dia saya rasa mesti ada sesuatu yang penting. Saya mesej tanya kenapa....

" angah tel atam tanya ma masih di jhr ke?. Tkejut semut atam blk jhr x balik jem... bla bla bla...."

Saya jawab " ajer giler balik johor tak balik jem! kalau tak balik jem takkan nak balik bkt siput plak!!! heheheh"....

Berbalik pada mesej tersebut lebih kurang jam 7 malam Angah sampai di TSI SP. Saya balik kerja 10.40 malam dia sambut saya dimuka pintu. Terkejut juga angin takde, ribut takde dia balik. Saja balik katanya, jumpa Mama, Baba & Adik2. Sabtu ni dia kembali semula ke Unisza. Alhamdulillah saya memang selalu merinduinya, terlalu rindu.Kepulangannya walau seketika merubat rindu kami.

Malam tu banyak perkara yang kami sembangkan hingga kepagi. Dia memang sentiasa memahami saya, menasihati saya, menyabarkan saya dalam pelbagai perkara. Saya memang mudah bersembang, meluahkan perasaan, bertanyakan pendapat kepadanya. Ada betul, ada salahnya saya pada pandangannya, tidaklah selalunya saya saja yang betul hanya kerana nak menjaga hati saya mamanya. Tidak juga saya selalu saja salah tanpa ada baiknya langsung saya dimata dia. Ada positif & negatif, saya bukanlah terlalu ego sampai tak boleh menerima nasihat & pandangan orang lain, lebih2 lagi anak2 saya. Terima kasih sayang.

7 Julai 2011
Jam 7 pagi
Angah bertolak ke Penang lebih awal kerana ada banyak komitmen dia dalam waktu yang singkat ini. Sampai saja di Penang dia mesej kata adik2 semua cuti sekolah. Dalam waktu yang sama Kak Uda juga mesej kata adik2 cuti sekolah kerana Pulau Pinang cuti sebab sambutan hari tapak warisan. Cadangan saya untuk terus kesekolah mereka saya batalkan.

Jam 9.30 pagi
Saya bertolak ke Penang. Dalam perjalanan saya singgah di SMKDHAK Kepala Batas bertemu Kak Cik. Kirimkan sikit wang saku kepada dia. Kebetulan dia ada program di asrama, saya tidak lama di sana. Saya teruskan perjalanan ke Tanjong Tokong.

Jam 11 pagi
Sepanjang perjalanan pandangan saya diseliputi jerebu. Penang dilanda jerebu rupanya. Namun jerebu itu tidak menghalang perjalanan saya dalam suasana yang amat menyeronokkan untuk berjumpa 'buah2 hati' saya. Hati saya tidak diselaputi jerebu tersebut tetapi penuh rasa kebahagiaan sepanjang melewati lebuhraya dari Sg Petani-Penang, menyelusuri gelombang lautan dalam feri hinggalah saya sampai kedestinasi... KIP yang pernah saya huni selama 8 tahun.

Jam 12 tengahari
Ketibaan saya mula2 disambut oleh Adik Adnin yang berlari dari tangga kebawah mendapatkan saya.

" yeay yeay... mama ambik adnin... mama ambik adnin"

Teriak suaranya sambil berlari memeluk saya. Adik saya dukung & saya cium bertalu 2 sambil airmata saya mengalir perlahan. Rindunya pada sikecil ini setelah lebih dua minggu tidak berjumpa. Pipi & bibir saya juga diciumnya bertalu2. Kami berpelukan erat. Sambil saya katakan padanya, kedatangan saya bukan untuk membawanya ke SP tetapi saya akan bawa dia jalan2 sepanjang hari ni sebelum saya balik SP.

Kemudian belumpun pelukan kami terlerai turun pula Kakak & Kak Uda sambil kedua2nya berlari & menerkam saya. Kami bertiga berpelukan erat. Sambil mereka bertiga berebut2 untuk mencium saya. Kemudian Kak Teh pula turun, keadaan yang sama berlaku. Kak Teh menarik saya dari pelukan mereka & dia memeluk & mencium saya bertalu2. Aduh!!! Kami memang saling merindu.

Angah yang sudah sampai sejak awal turun mendapatkan kami. Kemudian Rin juga sudah ada di rumah turun mendapatkan saya. Saya juga rindukan gadis ini. Gadis yang amat saya harapkan untuk menjadi sebahagian dari keluarga kami suatu hari nanti. Kami berbual2 dibawah, hanya dibawah...ruang parking motor. Disitu lebih selesa untuk saya melepaskan rindu bersama anak2. "kawan baik" pun tidak langsung mempelawa saya untuk masuk kerumah itu. Malah jika dipelawapun saya tidak akan masuk. Itu bukan rumah saya lagi. Saya tidak berhak malah amat tidak sopan masuk ketika surinya tiada dirumah. Saya masih tau adab & tata susila.

Setelah berbual2 seketika, mereka mengajak saya lepak2 di TESCO Tg Pinang, Tanjong Tokong yang baru dibuka. Kebetulan Kak Uda kata Baba mereka mahu membeli barang untuk masak nasi daging katanya. Kami pergi bersama tapi naik motor asing2. Adik & Kakak sudah tentu mahu bersama saya. Kak Uda menunggang sendiri. Baba mereka bersama Kak Teh. Angah & Rin ada hal yang mahu mereka uruskan.

Sampai di TESCO saya bersama Kak Uda, Kakak & Adik ronda2 sekitar TESCO. Besar sungguh TESCO Tg Pinang ni. Macam2 yang ada diruang legar ni selain didalam TESCO itu sendiri. Orang juga punyalah ramai. Ketika melalui ruang frozen saya kagum dengan kebersihan & kekemasan ruang ini.

Sambil2 meninjau2 saya terlihat kelibat Kak Teh & Baba mereka sedang membeli barang2 yang mahu dimasak. DIA memang semakin pandai berdikari. Banyak perkara yang pandai dilakukannya sendiri. Saya tidak mendapatkan mereka semasa Kak Uda pergi mendapatkan Baba mereka. Biarlah bukan urusan saya lagi untuk masuk campur urusan keluarga DIA.

Saya, Kakak & Adik terus meninjau2 ruang lain. Seperti biasa anak2 saya, tumpuan mereka lebih kepada bahagian buku2 & alat2 tulis. Mainan memang amat kurang. Kakak & Adik memilih2 buku2 & alat tulis. Saya membawa mereka membayar barang2 dikaunter.

Sambil menunggu Kak Uda & Kak Teh selesai dengan Baba Mereka, sebab kami bercadang untuk lepak2 dulu disini sebelum merancang ke Taman Belia pula. Ramai kenalan lama di Tg Tokong yang saya jumpa. Seperti biasa sekarang, bila berjumpa dengan kenalan lama, mereka yang lebih emo dari saya. Mereka yang kelihatan lebih sedih & menangis bila bercerita. Saya pula yang menyabarkan mereka. Mungkin airmata saya sudah habis untuk menangisi perkara ini. Mungkin juga rasa sedih & kecewa saya sudah habis untuk turut sama emo seperti mereka. Mungkin juga perasaan saya sudah mati untuk mengingati tragedi yang berlaku seperti kilat ini.

Setelah Kak Uda & Kak Teh selesai urusan bersama Baba mereka kami terus meronda lagi. Kami sempat ketempat permainan & sempat juga berkaraoke. Kerana Kak Uda masuk kerja pukul 3 petang, dia balik dulu. Saya teruskan menemani Kakak & Adik di ruang permainan kanak2. Setelah mereka puas main disitu saya bawa pula mereka ke Taman Belia. Kak Teh & beberapa orang kawan2nya yang mahu turut serta naik bas kesana.

Jam 3.30 petang
Kami tiba di Taman Belia. Seronok betul Kakak & Adik mandi. Saya hanya memerhati & memantau mereka. Tak lama kemudian Kak Teh & kawan2nya sampai. Sayu betul saya melihat Kakak & Adik. Kakak yang sememangnya pandai mengambil hati siapapun tak sudah2 mengucapkan terima kasih pada saya kerana membelikannya alat tulis & membawanya ke Taman Belia. Katanya Kakak suka sangat hari ni... Saya katakan padanya... Mama juga suka sayang!

Jam 5.30 petang
Saya ajak mereka balik kerana saya dah berjanji dengan Kak Uda & Rin nak berjumpa di PapaRich. Mereka nak raikan mother's day & ulangtahun saya bulan mei yang lalu. Saya hantar Kakak & Adik di KIP. Tapi saya akan singgah lagi sebelum balik SP selepas balik dari PapaRich kerana ada barang yang mahu Kak Teh bagi.

Jam 6.30 petang
Saya tiba di PapaRich bersama Angah. Sambil menunggu Kak Teh sampai kami berempat bersembang & riuh jugalah. Nasib baik customer disitu tak ramai. Kami lepak2 di sana hingga jam 8 malam. Saya diraikan dengan sepotong kek coklat badam dari secret resepi yang dibeli Kak Uda & Rin. Terima kasih sayang raikan Mama walaupun dah lewat dari harinya. Terima kasih juga belanja kami makan2 di PapaRich.

Jam 8.30 malam
Saya singgah di KIP mengambil barang. Sempat lagi borak2 dengan Angah, Kak Teh, Kakak & Adik dibawah blok. Angah sempat gantikan mentol lampu belakang motor saya yang tak menyala rupanya.

Jam 9.30 malam
Setelah mengucapkan selamat tinggal pada 'buah2 hati' saya, saya teruskan perjalanan balik SP. Mereka mencium saya bertalu2. Entah bila pula saya akan berjumpa mereka lagi, khususnya Kakak & Adik. Kakak & Adik masih mahu memeluk & mencium saya walaupun setelah saya berada diatas motor & enjin dihidupkan. Saya juga berat sebenarnya nak balik. Terasa waktu berlalu dengan pantas hari ini. Tak puas rasanya bersama mereka. I'Allah sayang, Mama akan cuba luangkan masa bersama kalian lagi nanti.

Jam 10.30 malam
Saya tiba di TSI, Sg Petani dengan selamatnya. Terasa ruang rindu dalam hati saya sudah berkurangan setelah seharian bersama mereka. Tetapi bila masuk saja kerumah rupanya ruang rindu dihati saya semakin menebal rupanya. Sampai bilapun rasa rindu dihati saya pada permata2 hati saya, pada buah2 hati saya takkan lenyap. Orang boleh berkata apa saja tentang saya, orang boleh nilaikan apa saja pada saya lantaran ketegaan saya terpisah jauh dari anak2, tetapi hati saya, perasaan saya, kasih sayang saya, cinta saya, rindu saya pada mereka....hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Semoga Allah pelihara mereka dari sebarang bahaya. Semoga Allah selamatkan mereka dunia & akhirat. Semoga Allah lindungi mereka dalam apa jua yang mereka lakukan. Semoga kejayaan menjadi milik mereka walaupun tanpa saya sepenuhnya disisi mereka seperti sepanjang usia mereka dalam pelukan, dalam jagaan saya selama ini.

Sekarang... setiap kali bersama mereka, setiap kali kami saling bersembang & meluah rasa, saya pasti...saya tahu...saya takkan malah tak pernah kehilangan mereka. Kasih sayang mereka tetap bersama saya. Walaupun kami berjauhan namun kami sentiasa dekat dihati. Kata2 Angah & Kak Uda tadi yang merelakan jika saya mahu kembali kepangkuan keluarga di Johor juga amat mengharukan saya. Bila saya katakan tak sanggup terlalu lama berjauhan dengan mereka khususnya Kakak & Adik, takut mereka semua tak sayang saya lagi nanti & menyangka saya tak sayang mereka kerana pergi terlalu jauh... mereka kata tidak sama sekali mereka akan mengandaikan saya begitu. Mereka akan selalu melawat saya nanti bila mereka habis belajar & sudah bekerja. Mereka akan bawa adik2 jumpa saya.... Mereka hanya mahu saya bahagia & gembira. Mereka tak mahu saya menangis & berendam airmata lagi.

Terima kasih permata2 hati Mama. Kalaupun Mama kembali ke kampung halaman Mama, bukanlah dalam masa yang terdekat ini. Banyak lagi perkara yang Mama mahu lakukan, pastikan sebelum Mama buat keputusan nekad itu. Mama tahu disini memang sudah tiada siapa2 untuk Mama. Sakit pening suka duka Mama sendirian, tetapi Mama masih ada kalian untuk bersama walaupun sekali sekala. Itu sudah cukup buat Mama. Doakan Mama sihat selalu, tiada kejadian tidak diingini berlaku pada Mama ketika sendirian....


8 julai 2011
jam 3 pagi